Ops Selamat 11: PDRM guna  kamera ‘iCorp’ mantapkan operasi

Ops Selamat 11: PDRM guna kamera ‘iCorp’ mantapkan operasi

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan kamera Intelligent Compound Online Payment System (iCOPS) bagi memantapkan keberkesanan operasi sepanjang Ops Selamat 11/2017 bermula Ahad ini sehingga 2 Julai.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kamera berkenaan mampu mengesan kehadiran kenderaan melalui pengimbasan nombor pendaftaran yang dikehendaki dalam senarai ‘Hotlist’.

Katanya, kamera itu dilengkapi gelung maya dan penataan infra merah yang membolehkan nombor pendaftaran dilihat lebih jelas.

“Alat ini efektif dan berjaya meningkatkan kutipan saman semasa operasi saman tertunggak warga asing serta beberapa siri tangkapan kes-kes pendaftaran palsu, kenderaan klon dan cukai jalan palsu,” katanya selepas melancarkan Ops Selamat 11/2017 sempena Hari Raya Aidilfitri 2017 di Menara TM hari ini.

Khalid berkata polis turut menubuhkan empat subtek (pusat operasi) di empat zon utama negara bagi membantu kelancaran operasi sepanjang Ops Selamat.

Katanya, empat subtek berkenaan dibahagikan kepada Zon Utara di Sekolah Latihan Asas Sungai Petani, Kedah; Zon Tengah di Batalion (Bn) 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor, Perak; Zon Selatan di Bn 6 PGA Bakri, Muar, Johor dan Zon Timur di Bn 7 PGA Bukit Galing, Kuantan, Pahang.

“Ops Perangkap Had Laju juga dilaksanakan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan antara kesalahan utama pemandu ialah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit,” kata Khalid.

Beliau berkata orang ramai diminta mengisi Borang Cuti Balik Kampung yang boleh dimuat naik di portal rasmi PDRM bagi membendung kegiatan jenayah.

“Oang awam juga boleh mendapatkan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) di App Store dan Google Playstore untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada polis secara tepat menggunakan telefon pintar,” katanya.

Ops Selamat bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’ itu turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), PLUS, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

TAGS