Orang Islam perlu hormat hak pengguna jalan raya, nasihat Mufti Perlis

Orang Islam perlu hormat hak pengguna jalan raya, nasihat Mufti Perlis

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan umat Islam agar menghormati hak orang lain menggunakan jalan raya di sekitar masjid.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebiadaban pihak yang mengganggu jemaah yang sedang bersolat wajar dibantah.

Asri berkata, sebagaimana ditekankan oleh Islam, Muslim perlu sedar semua orang berhak menggunakan jalan raya mengikut peraturan.

“Hendaklah kita sedar bahawa bagi jalan raya itu haknya yang diajar oleh Islam.

“Jalan raya bukan sahaja digunakan oleh kita, mereka yang lain juga ada hak menggunakannya dengan cara yang mematuhi peraturan,” tulisnya di Facebook hari ini, dipercayai merujuk kepada insiden pergaduhan di hadapan surau selepas solat Jumaat di Taman Austin Perdana, Johor Bahru semalam.

Kata Asri, pemandu-pemandu lain mungkin ada urusan kecemasan ataupun bukan Muslim yang mahu ke tempat lain ataupun Muslim yang tidak terlibat dengan solat berkaitan seperti wanita, musafir dan seumpamanya.

“Saya ingin menyeru kepada umat Islam di Perlis, khususnya ketika waktu solat agar memberikan hak jalan. Ini terutama semasa solat yang ramai seperti solat Jumaat dan hari raya.

“Demikian juga semasa kuliah yang ramai termasuk kuliah mingguan saya di Masjid Alwi, Kangar,” katanya.

Asri bagaimanapun berkata tulisan hari ini tiada kaitan dengan kes di Johor.

Mengulas lanjut, Asri berkata, menghormati hak orang lain boleh diamalkan dengan meletakkan kenderaan secara tersusun bagi membolehkan pengguna jalan raya lain turut menggunakan dengan selesa.

“Terhalang di jalan raya kadang-kala amat menyakitkan,” katanya.

Katanya, menghalang kenderaan pengguna jalan raya yang lain boleh memudaratkan terutama apabila pengguna itu sakit ataupun mahu ke suatu tempat yang perlu sampai pada masanya seperti lapangan terbang dan seumpamanya.

“Keindahan saf solat dalam masjid sewajarnya memberikan kesan dalam susunan kenderaan di luar masjid. Semoga masjid-masjid kita di Perlis ini khususnya sentiasa teratur dan tidak mengganggu pengguna jalan yang lain,” katanya.

TAGS