Orang ramai kongsi pengalaman ‘tangkap’ Perdana Menteri

Orang ramai kongsi pengalaman ‘tangkap’ Perdana Menteri

Sejak petang semalam, ada yang lima kali mencuba bahkan mengambil masa lebih 10 minit semata-mata untuk ‘menangkap’ Perdana Menteri dan isterinya dalam aplikasi permainan di laman Facebook “1Juta Desak Buka Kembali Siasatan Terhadap Najib Razak”.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Permainan tangkap Najib ekoran pelbagai skandal kewangan yang dilihat cuba ditutup oleh Peguam Negara.

Sejak petang semalam, ada yang lima kali mencuba bahkan mengambil masa lebih 10 minit semata-mata untuk ‘menangkap’ Perdana Menteri dan isterinya dalam aplikasi permainan di laman Facebook “1Juta Desak Buka Kembali Siasatan Terhadap Najib Razak”.

Turut menganggap kedua-dua individu kontroversi itu sebagai licik untuk ditangkap, perkongsian ‘pengalaman’ tersebut antara yang dapat dilihat dalam ruangan komentar di laman kempen yang dilancarkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli semalam.

Tinjauan Malaysia Dateline pagi ini mendapati dalam tempoh kurang 24 jam selepas dilancarkan, laman Facebook berkenaan berjaya mendapat lebih 18,000 tanda ‘suka’.

Permainan “Tolong tangkap mamat (Najib) ni!” di laman kempen di media sosial tersebut mengkehendaki netizen memastikan tiga karakter Najib Razak sedang ‘berlari’ pusing keliling benar-benar masuk ke dalam tiga sel penjara yang disediakan.

Animasi Presiden Umno itu masing-masing memegang plakad 1MDB dan RM2.6 bilion manakala satu lagi memimpin tangan menyerupai imej Rosmah Mansor berbaju kurung sendat serta berantai dengan bom sedang bernyala di tangan kirinya.

“Lima kali pencubaan puas hati dapat juga. Memang licik dua orang ini… Mama & papa panda,” ujar pengguna Facebook, Apai Abau Pilo Balang merujuk kepada panda sewa yang memerlukan Malaysia setiap tahun membayar sejumlah RM3 juta kepada China.

Menurut Nikson Abdillah, “Fuhh… letih aku dari petang tadi cuba tangkap akhirnya berjaya juga. Licik betul dia” manakala Abdul Azahariy berkata, “Tak lama lagi masuk la dia (Najib) betul-betul dalam sangkar ni… hehehe.”

Terdapat juga yang mengakui agak sukar untuk menangkap Najib dan Rosmah seperti disuarakan Azman Nordin bahkan Ridzwan Zainal mengulas, “Aku tak dapat (tangkap). Be(be)rapa kali cuba (en)tah. Memang licik” tetapi dinasihatkan oleh netizen lain supaya tidak berputus asa.

Pada masa sama, orang ramai turut berkongsikan tangkap layar (screenshot) bukti mereka berjaya menangkap Najib dan Rosmah. Antaranya, komentar Murai Mas berbunyi, “Masuk kandang juga akhirnya… haha…” dan “Culas wehh tapi berjaya jua,” tulis Shafarin Mahmood.

Najib ‘terlepas’ dari sel penjara

Terus dilihat menjadi bahan jenaka rakyat, ada yang mendakwa mereka sama sekali gagal untuk membawa Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu ke penjara dengan menyertakan tangkap layar karakter kartun Najib ‘terlepas’ dari sel penjara.

Semalam, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR mengajak orang ramai supaya turut mengisi petisyen (http://goo.gl/forms/pnd3XvubsQ ) dalam usaha memohon campur tangan Yang diPertuan Agong serta Majlis Raja-Raja Melayu mengheret kembali Najib ke muka pengadilan.

“Setelah mendapat jumlah tandatangan yang memadai, saya dan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan akan menulis untuk merafak sembah mengadap Duli Yang Mulia Yang diPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mengenai perkara ini.

“Saya yakin rakyat tidak boleh berdiam diri dan membiarkan sahaja perkara ini ditutup apabila peguam negara menutup kes. Dengan desakan rakyat, saya yakin Datuk Seri Najib boleh dihadapkan ke mahkamah,” ujar Rafizi dipetik daripada kenyataan beliau.

Selain itu, Rafizi turut menggesa Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menggunakan sepenuh kuasa di bawah Perjanjian Bantuan Guaman Bersama (MLA) dengan negara-negara yang sedang menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat.

TAGS