Pakatan Harapan akan kekal mantap

Pakatan Harapan akan kekal mantap

Parti Amanah Negara (Amanah)  menegaskan Pakatan Harapan akan kekal mantap dan  menolak tanggapan pihak yang sangsi dan mendakwa gabungan Amanah, PKR dan DAP juga  tidak kekal lama sebagaimana berlaku kepada Pakatan Rakyat kerana berbeza ideologi dan agenda perjuangan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Persidangan Pakatan Harapan baru-baru ini membuktikan Amanah PKR dan DAP sudah matang untuk bersaing dipersada politik negara

Parti Amanah Negara (Amanah)  menegaskan Pakatan Harapan akan kekal mantap dan  menolak tanggapan pihak yang sangsi dan mendakwa gabungan Amanah, PKR dan DAP juga  tidak kekal lama sebagaimana berlaku kepada Pakatan Rakyat kerana  berbeza ideologi dan agenda perjuangan.

Pengarah Komunikasi dan Media Amanah Negeri Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab menolak tanggapan itu kerana katanya, gabungan Pakatan Harapan wujud kerana adanya perbezaan dalam Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti TindakanDemokratik (DAP).

“Sebab itu perlu kepada gabungan dan pakatan, jika semua parti sama tidak perlulah wujudkan pakatan.

“Dahulu kegagalan Pakatan Rakyat mengekalkan gabungan tersebut disebabkan parti-parti dalam pakatan gagal berpegang kepada janji dan keputusan mesyuarat.

“Antara penyebabnya ialah ada komponen parti yang tidak mahu akur kepada keputusan mesyuarat dan juga tidak mahu menghadiri mesyuarat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru beliau yakin parti gabungan dalam Pakatan Harapan seperti Amanah, PKR dan DAP telah mengambil iktibar terkuburnya Pakatan Rakyat sebagai kesilapan lalu.

“Parti-parti dalam Pakatan Harapan yang ada sekarang sudah belajar dari kesilapan lalu serta sudah matang untuk melayari dan mendepani badai perjuangan.
“Parti-parti ini membuktikan komitmen mereka untuk memantapkan Pakatan Harapan dan memastikan gabungan itu terus relevan untuk membebaskan rakyat dari penindasan dan kezaliman BN,” jelasnya.

Sofi berkata, kejayaan Pakatan Harapan menandatangani perjanjian bersama Sabtu lalu menjadi titik penting betapa gabungan ini adalah mantap dan sukar digugat.
Perjanjian itu telah menggariskan perkara-perkara penting berkaitan gabungan, halatuju, pentadbiran, membuat keputusan serta cara menyelesaikan apa juga pertikaian dan perbezaan.

“Apa yang penting semua keputusan berkaitan dengan Pakatan Harapan mesti diputuskan di dalam mesyuarat Majlis Presiden yang menjadi badan terpenting menentukan hala tuju Pakatan Harapan dalam apa juga perkara. Keputusan itu pula mestilah mendapat persetujuan semua parti dalam gabungan tersebut. “ ujarnya.

Beliau tidak menafikan kebenaran parti-parti dalam Pakatan Harapan mempunyai perbezaan ideologi dan agenda perjuangan tetapi bagi beliau agenda perjuangan bersama yang dipersetujui dan disepakati bersama ialah melahirkan negara yang mempunyai kepimpinan yang telus, bersih dan amanah; ‘good governance’; bebas rasuah, menjunjung demokrasi dan sebagainya.

“Malah Pakatan Harapan sekali lagi menegaskan bahawa kedaulatan Raja-Raja Melayu, agama Islam sebagai agama persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tidak pernah terusik dalam kerangka perjuangan kami seperti juga Pakatan Rakyat dahulu.

“Ini jelas menunjukkan bahawa serangan musuh yang menyatakan kedaulatan agama Islam dan Raja-Raja Melayu akan tergadai jika Pakatan Harapan memerintah adalah fitnah besar yang sengaja dimainkan bagi memburuk-burukkan imej gabungan ini,” ujarnya.

Malah beliau melihat pemimpin Pakatan Harapan sudah matang dan berpengalaman untuk mendepani musuh politik mereka Umno-BN sebagaimana usaha untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat dahulu.

“Mereka memainkan isu agama dan perkauman sehingga ada bekas parti komponen Pakatan Rakyat yang termakan gula-gula Umno-BN ini.

“Saya yakin semua serangan dan fitnah mampu ditangani oleh pimpinan yang berpengalaman ini. Apa yang penting mereka mesti duduk semeja dalam apa juga isu yang dibangkitkan. Jangan menjadikan media sebagai medium untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku.

“KIta masih ingat ketika Pakatan Rakyat berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan pimpinannya sudah tidak boleh duduk semeja lagi. Masing-masing menggunakan media untuk berkomunikasi. Masing-masing berbalas-balas ‘tembakan’ di media tidak mahu bertemu dan bermesyuarat untuk merungkaikan masalah.

“Lebih-lebih lagi selepas Tuan Guru Nik Abdul Aziz meninggal dunia dan Anwar Ibrahim dipenjara maka tiadalah pimpinan yang dihormati dan disegani.

“Masing-masing menunjukkan ego masing-masing. Perangai ini mesti dibuang jauh-jauh oleh pimpinan Pakatan Harapan yang ada sekarang. Jangan ulangi kesilapan lama,” ujarnya.

Justeru beliau yakin jika semua pihak matang dan berlapang dada serta ikhlas berjuang untuk keadilan, Pakatan Harapan, rakyat akan tetap memberikan sokongan padu kepada gabungan itu dan akhirnya mampu mengugat Umno-BN.

TAGS