Pakatan Harapan akan letak calon anak tempatan di PRN Sarawak

Pakatan Harapan akan letak calon anak tempatan di PRN Sarawak

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Timbalan Presiden Amanah  Salahudin Ayub Pemimpin Pakatan Harapan bersepakat untuk meletakkan calon anak tempatan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sarawak  .

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, kehadiran parti-parti Semenanjung ke Sarawak amat diperlukan bagi rakyat negeri itu untuk membuat pilihan parti yang dapat membela nasib mereka.

“Amanah akan tetap bertanding di Sarawak. Itu pasti. Secara umumnya kita tidak lagi menetapkan kerusi dan siapa calon yang sesuai keutamaan akan diberikan kepada anak tempatan.

“Kehadiran parti-parti dari Semenanjung tidap perlu dihalang oleh kerajaan Sarawak kerana ini proses demokrasi, mana-mana parti boleh bertanding dan rakyat bebas membuat pilihan,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline dalam majlis anjuran Amanah Kelantan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi.

Salahuddin di minta pandangan mengenai kenyataan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem semalam, yang dipetik sebagai berkata, telah mendapatkan persetujuan daripada pimpinan Umno bahawa parti itu tidak akan melebarkan sayapnya ke Sarawak. Malah beliau juga berharap tiada calon parti pembangkang dari Semenanjung di Sarawak.

Justeru Salahuddin berkata, kemungkinan Adenan bimbang parti-parti di Sarawak akan tergugat sokongan dengan kehadiran parti-parti dari Semenanjung terutama Pakatan Harapan.

“ Penting adanya Pakatan Harapan sebagai `check and balance’ kepada kerajaan yang memerintah.

“Lebih-lebih lagi Sarawak yang masih lagi negeri termiskin walaupun telah merdeka sejak mereka menyertai Malaysia.

“Saya fikir Adenan tak mahu kuasanya dan partinya tergugat dengan kehadiran PAS, DAP,Umno dan PKR di Sarawak. Apa yang jelas kami dari Pakatan Harapan akan tetap meletakkan calon di kerusi yang sesuai,” ujarnya.

Difahamkan Amanah Sarawak telahpun mengadakan mesyuarat penajaannya baru-baru ini dan Salahudin yakin akan dapat mengenalpasti calon anak tempatan yang sesuai sedikit masa lagi untuk diletakkan sebagai calon dari Amanah untuk menghadapi PRN Sarawak kelak.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa KokDalam majlis sama turut ditanya Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok juga berpendirian Adenan  tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan untuk menghalang parti-parti dari Semenanjung bertanding dalam PRN Sarawak.

“Adenan seorang reformis dia tidak patut halang kami (Pakatan Harapan) untuk meletakkan calon parti masing-masing.

“DAP sudah ada 12 kerusi di Sarawak. Takanlah kita tak mahu bertanding? Tak masuk akal.

“Saya nak tanya Adenan kenapa dia takut kami bertanding? Partinya sudah menang besar di Sarawak, apa tidak cukup kerusi lagikah?” soalnya.

Semalam Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee juga menyatakan pendirian PAS untuk meletakkan calonnya bertanding walaupun Ketua Menterinya  tidak mengharapkan parti pembangkang dari Semenanjung di Sarawak.

Jofri dipetik sebagai berkata, Sarawak masih memerlukan pembangkang untuk memberi pandangan membina dan sebagai semak dan imbang agar tidak berlaku penyalahguna kuasa parti pemerintah dan tidak mengambil perhatian terhadap rakyat.

PAS Sarawak tidak lagi bersama dengan Pakatan Harapan selepas PAS tidak sehaluan dengan DAP.Bagaimanapun PAS masih bekerjasama dengan PKR.

TAGS