Pakatan Harapan, Bersatu akan cipta gelombong rakyat di Johor

Pakatan Harapan, Bersatu akan cipta gelombong rakyat di Johor

Negeri Johor akan menjadi destinasi politik yang menarik untuk pakatan pembangkang menerajui negeri itu selepas Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Salahuddin AyubNegeri Johor akan menjadi destinasi politik yang menarik untuk pakatan pembangkang menerajui negeri itu selepas Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelak.

Kecenderungan pakatan pembangkang untuk merampas negeri Johor itu disokong dengan tertubuhnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, senario politik di Johor sudah melalui beberapa proses krisis kepimpinan di kalangan pemimpin utama Umno negeri itu dan terkini katanya, krisis bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga pernah menjawat jawatan menteri besar Johor (1986-1995).

“Di Johor ada satu perkara yang kita boleh ‘ride on’ kalau kita mengkaji sejarah bangsa Johor.

“Ia bukan sifat kenegerian yang akan memisahkan Johor dan persekutuan tetapi kemunculan bangsa Johor itu dalam konteks berdepan dengan isu semasa seperti 1MDB dan kemungkaran politik perdana menteri.

“Saya yakin jika rakan DAP dan PKR dapat memposisikan peranan mereka dalam geo politik di negeri itu kita boleh cipta sejarah baru di situ.

“”Saya lihat Johor bakal jadi destinasi politik yang menarik kerana apa yang berlaku di Johor menuntut kita melalui proses kematangan dan kebijaksanaan untuk Pakatan Harapan dan Bersatu merampas negeri itu,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Masyarakat Melayu di negeri itu begitu sentimental terhadap Umno dari segi sejarah penubuhan parti Melayu tertua itu yang bermula di Johor dan krisis politik yang dibawa oleh beberapa pemimpin utama parti seperti Tan Sri Shahril Abdul Samad dan Tun Musa Hitam.

Musa meletakkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengekalkan Tengku Razaleigh Hamzah dalam Kabinet selepas pemilihan Umno 1984.

Manakala Shahril mengosongkan kerusi parlimen yang dimenanginya atas tiket Barisan Nasional (BN) pada 1986. Shahrir cuba menguji kekuatan Umno dengan bertanding semula atas tiket bebas yang ditaja oleh kumpulan S46. Pilihan Raya Kecil Parlimen Johor Bahru diadakan pada 25 Ogos 1986, iaitu hampir tujuh bulan selepas Umno diharamkan.

Johor akan jadi destinasi utama untuk pembangkang dalam PRU14Justeru kata Salahuddin, kali ini sekiranya berlaku gelombang rakyat di negeri itu ia mampu mengubah landskap politik di Johor sekali lagi dengan isu terkini membabitkan Muhyiddin.

“Sejarah sudah terbukti sekiranya berlaku pergolakan dalam Umno ia berjaya mencetuskan gelombang seperti yang pernah berlaku terhadap Shahril.

“Begitu juga apa yang berlaku kepada Musa waktu itu. Jadi ia boleh mencipta satu gelombang yang kita harapkan.

“Antara Bersatu dan Pakatan Harapan kita boleh bekerjasama lengkap melengkapi cetuskan gelombang politik baharu di Johor. Johor satu destinasi politik yang dinamik.

“Solution yang ada dalam Pakatan Harapan mestilah bekerjasama dengan parti Bersatu, bersetuju untuk satu lawan satu untuk memeriahkan lagi politik negeri Johor. Saya percaya apa yang dijuangkan  Muhyiddin dapat dikongsi bersama rakyat Johor,” jelasnya.

Salahuddin merupakan anak kelahiran Kampung Serkat, Johor pernah bertanding di kerusi Parlimen Kubang Kerian, Kelantan pada pilihan raya umum 2004 dan 2008 atas tiket Pas.

Dalam PRU 13 (2013) beliau membuat keputusan untuk kembali ke Johor dan bertanding kerusi Parlimen Pulai dan Dun Nusajaya namun beliau kalah di kedua kerusi tersebut.

Ketika ditanya kawasan yang mungkin akan beliau tandingi dalam PRU14, Salahuddin mengulangi pendiriannya untuk bertanding di negeri Johor.

“Saya dah umumkan sejak dulu lagi untuk bertanding di Johor. Saya dah nampak ada potensi saya di kawasan lama tetapi kali ini terpulanglah kepada Amanah negeri,” ujarnya.

Sebagai rekod  keputusn PRU ke-13 lalu, di negeri Johor daripada 26 kerusi Parlimen BN menang 21 kerusi, DAP (4), PKR (1) dan Pas tiada kerusi, manakala 67 kerusi Dun yang dipertandingkan BN menang 38 kerusi,DAP (13), PKR (12) dan Pas (4).

TAGS