Pakatan Harapan perlu henti berbalah demi rakyat – Tamrin Ghafar

Pakatan Harapan perlu henti berbalah demi rakyat – Tamrin Ghafar

Pertelingkahan dalam Pakatan Harapan (PH) mesti dihentikan ketika majoriti rakyat telah menyedari amalan rasuah dan penyelewengan kuasa yang dilakukan pemimpin Umno-BN, tegas Tamrin Tun Ghafar.

 

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Pertelingkahan dalam Pakatan Harapan (PH) mesti dihentikan ketika majoriti rakyat telah menyedari amalan rasuah dan penyelewengan kuasa yang dilakukan pemimpin Umno-BN, tegas Tamrin Tun Ghafar.

Bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu menyifatkan perbalahan antara anggota Pakatan Harapan yang dilihat begitu membimbangkan tidak membantu hasrat perubahan rakyat yang sudah terang lagi bersuluh menyaksikan penipuan kerajaan Umno-BN.

“Zaman kini anjing dan kucing pun boleh berbaik. Rata-rata majoriti rakyat mulai sedar yang mereka terang-terang ditipu oleh Najib dan konco-konconya. Malangnya, dalam masa sama PH bercakaran sesama sendiri,” ujar beliau dalam kenyataannya hari ini.

Menganggap rakyat ditaburkan dedak seperti ayam di belakang rumah, Tamrin berkata, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diberi kononnya sebagai bukti keprihatinan Umno-BN walhal rakyat dibebankan dengan peningkatan kos barangan keperluan akibat pelaksanaan GST (cukai barang dan perkhidmatan), kenaikan tol dan tarif elektrik.

“Bayangkan harga sekilo getah skrap lebih rendah dari harga sekilo ikan kembung atau ikan temenung. Kelapa sawit jatuh menjunam. Dulu janji makcik dan pakcik Felda saham FGV (Felda Global Ventures Holdings Bhd) akan mengkayakan mereka. Najib mengharamjadahkan mereka yang membantah pengapungan FGV.

“Kira-kira 600,000 graduan tidak ada pekerjaan yang agak sesuai dengan ijazah yang mereka pelajari. Ramai pula pensyarah universiti yang berkhidmat secara kontrak akan diberhentikan. Bantuan kewangan untuk universiti (awam) dipotong dengan mendadak. Pemberian biasiswa pun mula dikurangkan,” ujarnya.

Cuba menutup pekung

Tamrin yang juga anak kepada mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba turut membangkitkan kontroversi membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta salah guna dana dalam Kumpulan Wang Amanah Pekerja (KWAP), Tabung Haji dan Amanah Raya.

“Apa sudah jadi dengan RM45 bilion duit 1MDB , RM4 bilion duit Kumpulan Wang Amanah Pekerja (KWAP) malah duit simpanan orang kampung di Tabung Haji pun dirobek. Begitu juga dengan wang Amanah Raya.

“Walaupun media cetak dan elektronik kerajaan begitu bersungguh-sungguh cuba menutup pekung pemimpin-pemimpin tapi sebenarnya rakyat sudah mula meluat dengan sandiwara mereka,” katanya.

Menyedari pelbagai penyelewengan yang berlaku di bawah pentadbiran kerajaan Umno-BN, beliau mengingatkan Pakatan Harapan supaya mengukuhkan perpaduan dan bekerjasama dalam membela kepentingan rakyat.

“Nasihat saya hentikan perbalahan-perbalahan ini demi kepentingan negara dan rakyat yang amat dahagakan satu perubahan yang lebih baik,” tambahnya lagi.

TAGS