Pakatan Harapan kekal jadi parti gabungan pilihan raya, jika gagal ke Putrajaya

Gabungan parti politik pembangkang seperti Pakatan Harapan akan terus kekal menjadi gabungan untuk menang pilihan raya sahaja jika tidak didaftarkan, kata bekas timbalan presiden PKR, Dr Syed Husin Ali.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dr Syed Husin Ali berkata jika Pakatan menang pilihan raya  dapat kuasai Putrajaya akan memudahkan usaha membentuk Pakatan Harapan didaftarkan menjadi sebuah organisasi politik.Gabungan parti politik pembangkang seperti Pakatan Harapan akan terus kekal menjadi gabungan untuk menang pilihan raya sahaja jika tidak didaftarkan, kata bekas timbalan presiden PKR, Dr Syed Husin Ali.

Bagi bekas pensyarah sains sosial itu, nasib Pakatan Harapan akan kekal begitu jika mereka tidak menang dalam pilihan raya umum nanti.

“Masih belum boleh dibuat dan tidak cukup hanya dengan tiga parti. Sekurang-kurangnya kena ada tujuh lagi parti yang sedia bergabung untuk menubuhkan organisasi.

“Setakat hari ini belum ada nampak komitmen parti lain terhadap Pakatan Harapan lebih-lebih lagi menarik parti-parti di Sabah dan Sarawak, selagi Pakatan Harapan tidak menang pilihanraya dan berjaya menakluki Putrajaya.

“Jika dapat kuasai Putrajaya itu akan dapat mendorong untuk memudahkan Pakatan Harapan didaftarkan menjadi sebuah organisasi yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Sosial (Ros),” ujarnya kepada Malaysia Dateline dalam satu pertemuan pada Khamis.

Peranan gabungan parti-parti politik pembangkang utama di negara ini diwujudkan bertujuan mengurangkan majoriti kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui parti Umno.

Ura-ura untuk mewujudkan sebuah organisasi dalam Pakatan Harapan telah dizahirkan dalam beberapa kali perbincangan tiga parti itu sebelum ini.

Syed Husin yang juga bekas Presiden PRM berkata, kemungkin akan ada perbincangan serius mengenainya dalam Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan kali pertama yang dijangka akan diadakan pada 9 Januari ini di Kuala Lumpur.

“Kita akan lancarkan tiga perjanjian kerjasama dan salah satunya itu mungkin dari segi organisasi Pakatan Harapan untuk dilihat lebih mantap menyentuh mengenai peraturan dan kita akan menambah baik ‘Buku Jingga’ untuk membaiki dasar-dasarnya dengan isu-isu terkini politik tanah air.

“Tumpuan persidangan kali pertama ini lebih banyak tertumpu kepada pilihan raya. Jika Pakatan Harapan menang, sama ada akan menjadi kerajaan campuran atau menjadi satu parti (Pakatan Harapan) untuk bentuk kerajaan atau lebih longgar daripada itu kita tidak tahu lagi,” ujarnya.

Kewujudan Barisan Alternatif (BA) pada 1999 adalah gabungan PAS, PKR dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Gabungan BA ini telah menentang BN dalam pilihan raya umum pada tahun 1999, 2004 dan 2008.

Bagi melaksanakan impian menakluki Putrajaya PAS, PKR dan DAP telah menubuhkan Pakatan Rakyat (PR) selepas pilihan raya umum pada 2008 setelah BA berjaya merampas lima negeri daripada BN iaitu Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan mengekalkan Kelantan yang diterajui PAS sejak enam penggal pilihan raya diadakan.

Terkini pada September lalu, PR telah digantikan pula dengan Pakatan Harapan yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah.

Melihat kepada senario gabungan pakatan pembangkang dalam menghadapi pilihanraya sudahpun terjalin sejak 1998 telahpun menjangkau 17 tahun PKR, PAS dan DAP atas nama gabungan kerjasama dalam menghadapi pilihanraya umum menentang Umno-BN.

Sejauhmana cabaran yang terpaksa di hadapi Pakatan Harapan kali ini berbanding BA dan PR?

Syed Husin berkata rakyat melihat krisis DAP-PAS berbeza dengan krisis Anwar Ibrahim pada 1998 hingga tertubuhnya BA kerana keyakinan rakyat terhadap lima negeri yang dimenangi BA pada 2008 lalu membentuk pula PR.

“PKR hari ini sudah berkembang tidak lagi berbicara soal perjuangan Anwar Ibrahim semata-mata sebaliknya PKR sudah tertumpu kepada reformasi pemerintahan dan menambah baik Buku Jingga untuk lebih mantap menjadi sebuah dasar kepada gabungan Pakatan Harapan pula.

“Daripada kajian Merdeka Centre dan IDEA mendapati PKR masih kuat di Selangor, DAP pula teguh dengan sokongan kuat pengundi Cina. PAS di sesetengah tempat sokongannya berkurangan kerana tertubuhnya Amanah.

“Kerjasama sudah dibentuk dalam Pakatan Harapan dan antara PKR-PAS mereka akan bekerjasama untuk pastikan tiada pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum nanti.

“Dalam Pakatan Harapan kita akan pastikan bertanding satu lawan satu tetapi yang jadi masalah adalah PAS kerana DAP akan bertanding di setiap kerusi yang dimenangi PAS.

“PAS pula akan bertembung dengan Amanah di kerusi sama. Kemungkinan tiga penjuru itu kelak membabitkan PAS, DAP dan Amanah.

“Setakat ini Amanah lebih terbuka untuk bertanding satu lawan satu, mungkin akan ada kerjasama dengan PAS untuk tidak bertanding di kerusi yang dahulunya milik PAS bagi mengelakkan kekalahan teruk PAS dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya melihat kepada cabaran Pakatan Harapan kali ini.

Dalam pada itu Syed Husin juga berpandangan sekiranya kerjasama politik membabitkan PAS-Umno berlaku ketika pilihanraya akan datang, ia akan mengubah kerusi PAS dan cabaran bagi Amanah sebagai parti serpihan PAS yang baru ditubuhkan itu.

“Kita tahu dalam kepimpinan tertinggi PAS hadapi krisis mengenai kerjasama PAS-Umno ini.

“Dalam kerjasama PAS-Umno pula, Pakatan Harapan cuma ada dua peluang iaitu pastikan bertanding satu lawan satu dan perlu ada kerjasama lebih kuat di kawasan luar bandar kerana di situ kubu kuat Umno-PAS.

“Meletakkan pemimpin yang sama di kawasan yang sama adalah salah satu strategi untuk menang kerusi dipertandingkan, malah pembahagian kerusi antara PKR, DAP dan Amanah juga perlu hampir sama di setiap Parlimen dan Dun,” ujarnya memberikan pandangan.

Bagaimana pula dengan kuasa politik Melayu dengan adanya perpecahan PAS-Amanah dan krisis kepimpinan Umno terhadap kredibiliti Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak?

“Kita bimbang bahawa di kalangan orang Melayu sudah ada pihak yang merendah-rendahkan agama dan kaum untuk menarik orang Melayu kepada Umno dan kebimbangan orang bukan Islam terhadap kerjasama Umno-PAS.

“Umno melihat parti komponen seperti MCA-Gerakan gagal menarik sokongan orang Cina, sedangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh membawa ramai sokongan Melayu.

“Begitu juga PKR tidak membenarkan Najib mengambarkan orang Melayu dalam Pakatan Harapan diperkudakan DAP dan PKR bukan lagi berjuang untuk pembebasan Anwar semata-mata. Apa yang buruk mengenai DAP di mata Umno tidak semestinya buruk di mata PKR dan Amanah.

“Perlu diingatkan hari ini sudah ada reformasi dari segi polisi dalam pakatan yang tidak lagi berorentasikan kepada individu semata-mata,” ujarnya.

Pakatan Harapan akan mengadakan persidangan pimpinannya buat kali pertama pada 9 Januari  antara yang akan dibincangkan kemungkinan penubuhan organisasi parti.

TAGS