Pakatan Harapan laksana kajian projek landasan RM55 bilion

Pakatan Harapan laksana kajian projek landasan RM55 bilion

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bimbang dengan kesan yang bakal dihadapi negara daripada  projek keretapi landasan Pantai Timur (ECDR) yang menelan belanja RM55 bilion, Pakatan Harapan mengambil keputusan melaksanakan kajian kebolehupayaan (FS) projek tersebut untuk dibentangkan kepada rakyat dalam tempoh 30 hari.

FS yang bakal dibentuk itu dianggotai pakar-pakar di kalangan orang ramai memandangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak diyakini tidak akan mendapatkan kelulusan parlimen bagi melaksanakan projek mega itu.

Dalam satu kenyataan bersama Rafizi Ramli (PKR-Pandan), Dr Hatta Ramli (Amanah-Kuala Krai), Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) dan Ong Kian Ming (DAP-Serdang), ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan itu memandang serius perjanjian yang bakal ditandatangani  Malaysia dan China yang membolehkan syarikat-syarikat milik kerajaan China membina ECDR dengan dibiayai pinjaman kerajaan negara tersebut.

Menurut mereka, model pembiayaan dan pembinaan projek infrastruktur yang digunapakai oleh kerajaan China (melalui anak syarikat miliknya) membabitkan tiga syarat utama iaitu melibatkan pengunaan tenaga kerja dan kontraktor sepenuhnya dari China; penggunaan material sebanyak mungkin dari China; serta teknologi dan khidmat sokongan sepenuhnya dari China.

“Selain dari kesan ekonomi berganda yang tidak dapat dirasai oleh syarikat-syarikat dan pekerja-pekerja Malaysia, lebih membimbangkan ialah pergantungan dalam jangka masa yang lama kepada Kerajaan China sekiranya perjanjian itu mengikut model yang telah digunakan oleh Kerajaan China di negara-negara lain.

“Paling membimbangkan ialah kos sebanyak RM55 bilion yang disebut itu adalah terlalu tinggi, apatah lagi berikutan dakwaan bahawa kos projek ini dinaikkan untuk menutup hutang 1MDB (seperti yang didakwa Sarawak Report),” kenyataan media itu dipetik.

Menurut mereka, amalan biasa bagi projek-projek bernilai tinggi seperti ECDR melibatkan beberapa proses kelulusan antaranya kajian pra-kebolehupayaan (PFS), kajian kebolehupayaan (FS) dan kajian keputusan pelaburan akhir (FID).

“Kajian-kajian ini melibatkan anggaran jumlah penumpang, anggaran tiket, anggaran kos dan pertimbangan lain yang boleh menunjukkan sama ada projek ini boleh dibiayai tanpa membebankan rakyat.

“Soalan-soalan seperti berapa harga tiket yang dicadangkan, berapa kenaikan tiket dalam tempoh 20 tahun akan datang adalah soalan-soalan yang perlu diputuskan terlebih dahulu sebelum kerajaan menandatangani kontrak dengan Kerajaan China,” jelas mereka.

Sehubungan itu, Pakatan Harapan mendesak Perdana Menteri membentangkan di Parlimen hasil tiga kajian tersebut sebelum sebarang komitmen diberikan kepada Kerajaan China kerana jumlah RM55 bilion adalah jumlah yang besar dan perlu diluluskan Parlimen.

Khuatir dengan kemungkinan Najib tidak akan menghormati Parlimen dan tidak mengendahkan desakan yang dibuat, Pakatan Harapan akan menubuhkan satu pasukan yang terdiri dari pakar-pakar dari kalangan orang ramai untuk menjalankan sendiri PFS bagi dibentangkan kepada rakyat dalam tempoh 30 hari dari sekarang.

TAGS