Pakatan Harapan mampu ke Putrajaya tanpa Pas

Pakatan Harapan mampu ke Putrajaya tanpa Pas

Dengan menguasai kerusi campuran dan kerusi majoriti Cina serta memecahkan monopoli Umno di kawasan Felda, kebarangkalian Pakatan Harapan merampas Semenanjung Tanah Melayu dari Umno-BN dalam PRU14 cukup tinggi.

Dr Rosli Yaakob

Dengan menguasai kerusi campuran dan kerusi majoriti Cina serta memecahkan monopoli Umno di kawasan Felda, kebarangkalian Pakatan Harapan (PH) merampas Semenanjung Tanah Melayu dari Umno-BN dalam PRU14 cukup tinggi.

Dalam senario ini, PH sebenarnya tidak memerlukan Pas untuk bersama pakatan pembangkang, bahkan lebih molek seandainya Pas dan Umno-BN cepat-cepat bersatu, kata penganalisis ekonomi dan politik, Dr Rosli Yaakob.

Beliau menjelaskan, daripada 29 kerusi campuran, 10 dimenangi PKR, diikuti DAP (9), MCA (3), MIC (4), Gerakan (1), PSM (1) dan Pas (1).  Ini bermakna Pakatan Rakyat (PR) mendapat sokongan kuat di parlimen campuran dengan memenangi 21 daripada 29 kerusi atau 72%.

“Kebarangkaliannya cukup tinggi bahawa dalam PRU14 nanti kesemua kerusi ini boleh ditawan oleh PH terutamanya jika trend pengundi bukan Melayu menyokong PH berterusan seperti mana yang berlaku dalam PRU13 dahulu.

“Malahan jika berlaku pertandingan tiga penjuru di kerusi ini peluang calon PH menang lebih cerah berbanding calon Umno-BN apatah lagi calon Pas,” ujar bekas ahli jawatankuasa Pas Pusat itu.

Menurut beliau,semua kerusi majoriti Cina di Semenanjung dimenangi DAP (22 kerusi) dan parti itu dijangka mengekalkan kemenangan total itu dalam PRU14 memandangkan parti-parti Cina yang lain masih lemah.

Sentimen anti-Cina yang kini menjadi mantera harian Umno dan Pas juga, jelas beliau mendorong pengundi Cina memilih DAP berbanding MCA atau Gerakan.

“Jadi hakikatnya, PH pun ada ‘simpanan tetap’ – kerusi majoriti Cina dan kerusi campuran berjumlah 51 kerusi (22 + 29) – hampir sama bilangannya dengan simpanan tetap Umno di kawasan Felda,” ujarnya.

Menurut Dr Rosli, di Semenanjung Tanah Melayu Umno-BN menang tipis dengan 85 kerusi berbanding Pakatan Rakyat (80 kerusi).

“Dalam PRU13, Sabah dan Sarawak penyelamat Umno. Merekalah sesungguhnya ‘king maker’. Manfaatnya, cukup banyak pos-pos kabinet yang ahli-ahli parlimen Sabah dan Sarawak perolehi,” jelas beliau.

Namun beliau yakin Sabah bukan lagi simpanan tetap BN memandangkan Parti Warisan Sabah dibawah pimpinan Datuk Seri Shafie Afdhal mampu melakukan kejutan.

Sentimen anti-Semenanjung di Sabah dan laungan “Sabah untuk Orang Sabah” katanya, menyebabkan status Sabah sebagai simpanan tetap BN sudah pecah berderai.

Ikuti analisis lanjut beliau di ruangan Rencana.

TAGS