Pakatan Harapan sokong muafakat rakyat ‘Selamatkan Malaysia’

Pakatan Harapan sokong muafakat rakyat ‘Selamatkan Malaysia’




Pakatan Harapan menyifatkan pendirian Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa negara memerlukan reformasi institusi dan keputusan Tun Mahathir Mohamad keluar dari Umno sebagai perkembangan positif yang perlu dialu-alukan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pakatan Harapan menyifatkan pendirian Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa negara memerlukan reformasi institusi dan keputusan Tun Mahathir Mohamad keluar dari Umno sebagai perkembangan positif yang perlu dialu-alukan.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam, PKR, DAP dan Amanah menyifatkan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan Dr Mahathir dan Muhyiddin memperlihatkan kecenderungan mereka menerima hakikat bahawa sistem kerajaan yang memusatkan kuasa di tangan Perdana Menteri adalah berbahaya.

“Pendirian itu secara umumnya mirip kepada dasar yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan selama ini yang menuntut reformasi institusi yang menyeluruh,” ujar kenyataan media bersama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu itu.

Pakatan Harapan, ujar mereka menghormati suara rakyat yang mahukan kepentingan dan perbezaan politik diketepikan demi menyelamatkan negara.

“Pakatan Harapan juga mempertahankan kehendak rakyat supaya sebarang perubahan mestilah melibatkan reformasi institusi yang menyeluruh (termasuklah pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi mangsa salahguna kuasa), bukannya setakat menukar Perdana Menteri tetapi mengekalkan sistem sedia ada,” kenyataan media itu dipetik.

Sehubungan itu, Pakatan Harapan mengalu-alukan semua pihak untuk merangka kempen bersama yang akan digerakkan secara bersepadu melibatkan semua golongan dan kumpulan rakyat.

“Untuk tujuan itu, Pakatan Harapan akan memanggil satu sidang rundingan dengan semua pihak yang mahu turut serta dalam usaha menyelamatkan negara ini.

“Butir-butir sidang rundingan ini akan diumumkan selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 7 Mac 2016 di Bangunan Parlimen,” ujar kenyataan tersebut.

TAGS