Paksa tahanan pakai baju lokap menyalahi undang-undang

Paksa tahanan pakai baju lokap menyalahi undang-undang

Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaksa individu yang ditahan bagi tujuan siasatan memakai baju lokap adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Menurut Lim, individu yang ditahan atau direman tidak wajar dilayan seperti pesalah sebelum dibuktikan bersalah di mahkamah.

“SPRM tidak wajar mengaibkan, merendahkan martabat, atau menghina dengan memaksa mereka memakai baju lokap berwarna oren sewaktu dibawa ke mahkamah.

“Tindakan itu seolah-olah menghukum mereka bersalah atas tuduhan rasuah sedangkan perbicaraan pun masih belum bermula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu justeru bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran yang menyatakan bahawa tindakan SPRM itu adalah menyalahi undang-undang.

“Surendran betul apabila mengatakan bahawa amalan (pemakaian secara paksa baju lokap) itu melanggar prinsip tidak bersalah sehingga terbukti bersalah, malah bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

{loadposition myposition}

Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menyentuh tentang kebebasan individu.

Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh dan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad antara pemimpin yang kelihatan memakai baju lokap berwarna oren dengan logo SPRM ketika pemohonan reman dibuat terhadap mereka di mahkamah baru-baru ini.

Phee dibebaskan setelah mahkamah memutuskan perintah reman terhadapnya sebagai tidak sah, manakala Isa Samad yang dikaitkan dengan pembelian dua hotel di London dan Kuching pula direman selama lima hari bagi tujuan siasatan.

TAGS