Pameran antarabangsa Jerman promosi barangan Malaysia

Pameran antarabangsa Jerman promosi barangan Malaysia

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) melihat pameran perdagangan antarabangsa Jerman sebagai instrumen penting untuk mempromosikan eksport Malaysia.

Langkah ini, kata Badrul Hisham Hilal, Pengarah Pejabat Matrade Frankfurt yang baharu, bukan sahaja untuk Jerman tetapi juga pasaran utama lain berikutan pembeli mengunjungi acara sedemikian.

“Pameran perdagangan antarabangsa Jerman menarik pembeli bukan sahaja dari dalam negara, tetapi juga dari seluruh dunia. Oleh itu, peserta pameran Malaysia di acara tertentu boleh menemui pembeli seperti dari Australia, Asia dan Amerika Utara,” katanya kepada Bernama.

Badrul, yang tiba di Frankfurt pada November lepas, sibuk memasarkan pelbagai produk Malaysia dengan menemui syarikat Jerman yang membuat penyumberan luar dari Asia, dan persatuan perdagangan Jerman yang merupakan sumber hubungan dan maklumat berkaitan industri.

Sebelum ini di Pulau Pinang sebagai Pengarah Matrade, dan sebelum itu, sebagai pengarah agensi tersebut di Chennai, India, pelantikan beliau diterima baik oleh ahli perniagaan Malaysia dan Jerman.

Beliau juga sibuk menghadiri beberapa pameran perdagangan.

Industri peranti perubatan Malaysia, yang telah membuat impak di peringkat antarabangsa, mendapat perhatian di pameran MEDICA yang diadakan di Dusseldorf pada November tahun lepas.

Badrul berkata sebanyak 39 syarikat Malaysia yang mengambil bahagian berpuas hati dengan maklum balas perniagaan di acara tersebut.

Terdapat peserta pameran Malaysia yang mendapat pertanyaan dari pelbagai tempat, termasuk Timur Tengah, Asia dan Afrika.

Satu lagi acara utama yang akan disertai syarikat Malaysia ialah Pameran Teknologi Maklumat CeBIT Hannover pada Mac.

Badrul menekankan keupayaan Malaysia dalam Internet of Things (IoT).

“Malaysia mempunyai keupayaan yang tinggi dalam pengeluaran sensor yang mempunyai pelbagai aplikasi, termasuk jam tangan pintar, meter dan monitor pintar.

“Acara antarabangsa menjadi platform untuk mempamerkan produk kepada komuniti pembeli antarabangsa di bawah satu bumbung,” katanya.

Perdagangan dua hala Malaysia dengan Jerman terus meningkat pada 2016. Pada 2015, ia mencatat sebanyak RM43 bilion, dengan eksport Malaysia mencecah RM19.65 bilion dan import dari Jerman sebanyak RM25.37 bilion.

Dari Januari hingga November 2016, jumlah perdagangan dua hala mencecah RM41.91 bilion. Eksport Malaysia ke Jerman sebanyak RM20.14 bilion dalam tempoh tersebut.

Menurut Badrul, Jerman muncul sebagai rakan dagang utama Malaysia di Eropah, menyumbang 29 peratus daripada eksport negara ke benua itu.

CATEGORIES