Panas melampau, cukai menindas GST jadi topik khutbah Jumaat

Panas melampau, cukai menindas GST jadi topik khutbah Jumaat

Khatib khutbah Jumaat di Masjid As-Salam, Bukit Sentosa petang ini menyelar pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta pelbagai cukai menindas lain.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Khatib khutbah Jumaat di Masjid As-Salam, Bukit Sentosa petang ini menyelar pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta pelbagai cukai menindas lain.

“Kita diberi peringatan oleh Allah cuaca yang sangat panas. Allah datangkan peringatan demi peringatan disebabkan banyak dosa yang dibuat oleh rakyat juga pemimpin yang khianat.

“Jika tuan-tuan ada tanah, maka dikenakan cukai tanah. Jika tuan-tuan ada rumah, dikenakan cukai pintu. Jika tuan-tuan jual tanah sekali dengan rumah, maka dikenakan cukai keuntungan pula.

“Tuan-tuan ada motor, kereta, bertahun-tahun hutang kena bayar cukai jalan. Tuan-tuan ada gaji, kena lagi cukai pendapatan. Beli barang untuk menjamu anak dan isteri, tuan-tuan dikenakan GST.

“Tuan-tuan pergilah ke mana saja. Tuan-tuan dihimpit dan dikelilingi pelbagai cukai sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, sama ada sedar atau paling malang tak sedar,” ujarnya di masjid terletak di Parlimen Hulu Selangor itu.

Ekoran nada khutbah yang dilihat ‘garang’ itu, Malaysia Dateline mendapati jemaah dilihat tidak tertidur seperti lazim berlaku ketika khutbah dibacakan.

“Kejahatan demi kejahatan, kezaliman demi kezaliman, ketidakadilan dan ketidaksamaan yang berterusan berlaku disebabkan pemimpin yang mengabaikan perintah Allah. Ini membimbangkan kita kalau Allah bila-bila masa boleh musnahkan kita.

“Sebab itulah Allah datangkan banjir besar, jerebu, panas melampau, kemalangan musibah demi musibah sebagai peringatan agar kita kembali bertaubat dan kembali ke pangkal jalan,” jelasnya yang turut menyebut tentang bahaya peningkatan jenayah rasuah.

Hanya sekadar sembahyang hajat?

Turut disebut oleh khatib ialah peranan luas agama Islam merangkumi seluruh bidang kehidupan bukan sekadar terhad pada solat hajat dan membaca surah Yaasin sahaja.

“Agama dijadikan sebagai mainan. Bila berlaku sesuatu musibah maka pemimpin suruh kita sembahyang hajat. Adakah agama ini, hanya sekadar sembahyang hajat?

“Juga adakah agama ini hanya sekadar baca Yaasin? Al-Quran ada lebih 6,000 ayat untuk difahami dan diimani bukan hanya dibaca semata-mata. Sepatutnya, bila nampak kemungkaran, wajib ditegur,” tegas khatib lagi di depan khalayak jemaah yang majoritinya pekerja kilang Perodua.

TAGS