Panggil saja Ladang Rakyat tapi syarikat yang kaut untung, selar Siti Kasim

Panggil saja Ladang Rakyat tapi syarikat yang kaut untung, selar Siti Kasim

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Projek Ladang Rakyat yang diwujudkan bagi membasmi kemiskinan di Kelantan sebenarnya memberi lebih manfaat kepada syarikat bukannya rakyat, dedah aktivis Siti Kasim.

Bercakap dalam forum anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) malam tadi, beliau yang juga peguam berkata, rakyat yang menjadi ahli kepada projek tersebut juga bukan semua memperoleh dividen yang dijanjikan secara tetap.

“Ladang Rakyat ini kononnya dia panggil saja Ladang Rakyat, sebenarnya rakyat tidak dapat apa-apa. Syarikat itu sebenarnya yang mengaut keuntungan daripada Ladang Rakyat. Itulah yang berlaku.
 
“Orang Asli yang jadi ahli Ladang Rakyat ini pula kena jadi ahli Pas. Dapat (dividen) RM200 sebulan saja. Itupun kadang-kadang tidak dapat,” ujarnya dalam forum di Restoran Amjal berdepan UM di Jalan Pantai Baharu itu.

Sementara itu, semakan Malaysia Dateline di laman web Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat mendapati antara matlamat penubuhan perbadanan tersebut adalah bagi mengurangkan peratusan kemiskinan penduduk negeri Kelantan serta meningkatkan taraf hidup rakyat negeri itu melalui peluang pekerjaan yang berkaitan Ladang Rakyat.

Dalam hal berkaitan, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada November tahun lalu dilapor berkata, seramai 5,000 peserta Ladang Rakyat merupakan golongan miskin yang dipilih oleh penghulu dari setiap kawasan Dun.

Menurutnya, para peserta projek berkenaan memperoleh dividen RM200 pada setiap bulan manakala koperasi peserta memiliki aset RM1 juta dan jumlah saham terkumpul pada masa itu mencecah RM2.7 juta.

Walau bagaimanapun, isu Ladang Rakyat di Gua Musang hangat diperkatakan apabila aktiviti pembalakan secara tebang habis dilakukan bagi tujuan projek itu sehingga memusnahkan ekosistem, mencemarkan sungai sekaligus menganiaya kehidupan Orang Asli di kawasan terbabit.

Hal ini turut dibuktikan melalui tinjauan Malaysia Dateline dengan beberapa media lain bersama badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar anjuran Royalti (R) Malaysia di hulu Kelantan pada 10 dan 11 Oktober lalu.

Pemerhatian di sekitar Hutan Simpan Kekal (HSK) dekat Gua Musang itu mendapati sungai di kawasan aktiviti pembalakan rakus pihak kerajaan negeri Kelantan pimpinan Pas menjadi keruh dan cetek manakala kawasan mencari rezeki Orang Asli musnah akibat projek Ladang Rakyat.

Salah satu sungai punca sumber air bagi Orang Asli tetapi tercemar teruk akibat pembalakan bagi tujuan Ladang Rakyat.

TAGS