Parti baharu untuk wujudkan blok pembangkang yang kuat, kata Saifuddin

Parti baharu untuk wujudkan blok pembangkang yang kuat, kata Saifuddin

Cadangan penubuhan parti politik baharu oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu dilihat dari sudut yang luas, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah.

Cadangan penubuhan parti politik baharu oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu dilihat dari sudut yang luas, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, perkara yang perlu diutamakan adalah mewujudkan satu blok pembangkang yang besar, bersatu serta kuat supaya berlakunya perlawanan satu lawan satu antara pakatan pembangkang dengan Barisan Nasional (BN) seperti yang dikehendaki rakyat.

“Apa yang paling mustahak, saya difahamkan mesyuarat itu membincangkn keperluan diwujudkan satu platform yang besar menggabungkn semua pihak yang menentang BN.

“Pihak-pihak itu ramai iaitu Pakatan Harapan, parti-parti pembangkang yang lain seperti Pas, PSM, Saksama, NGO dan individu-individu seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal.

“Bentuk sebenar platform tersebut boleh lahir dalam beberapa cara,” tulisnya di facebook hari ini.

Semalam dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Dr Mahathir menyatakan perancangan untuk menubuhkan parti politik baharu dalam masa terdekat sebelum membentuk kerjasama dengan blok pembangkang sedia ada terutama dengan Pakatan Harapan untuk menentang Umno-BN dalam pilihan raya akan datang.

Menurut Saifuddin yang juga bekas ahli mesyuarat tertinggi Umno ini, walaupun Pakatan Harapan berharap individu-individu tertentu yang kini tidak berparti akan menyertai mereka, namun Pakatan Harapan memahami dinamika tertentu yang mungkin memerlukan parti baru ditubuhkan.

“Contohnya, Sabah punya dinamika politik yang unik. Justeru, sekiranya Datuk Seri Shafie menubuhkan parti baru, kami memahaminya. Apa yang penting ialah Pakatan Harapan bekerjasama dengannya di Sabah,” katanya lagi.

Selain itu kata Saifuddin, pakatan pembangkang harus berhenti serang-menyerang sebaliknya perlu berbincang dari hati ke hati bagi mewujudkan pembangkang yang kuat.

“Satu lagi perkara yang penting daripada pengumuman semalam ialah tiadanya kenyataan menyerang mana-mana parti pembangkang.

“Ini semangat yang penting. Parti-parti pembangkang tidak semestinya bersetuju pada hari ini untuk menubuhkan gabungan baru atau meluaskan Pakatan Harapan.

“Kita berhenti serang-menyerang dahulu. Kita berbincang secara hati ke hati. Akhirnya, blok pembangkang yang besar, bersatu dan kuat itu tidak semestinya wujud hanya dalam satu bentuk yang formal.

“Ia boleh dalam bentuk ‘PH terdiri daripada tiga parti sedia ada’, ‘PH Plus’, ‘PH & Co’ dan sebagainya,” katanya memberi contoh.

TAGS