Parti bekas anggota DAP akan rebut kerusi di Selangor

Parti bekas anggota DAP akan rebut kerusi di Selangor

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Alternatif Rakyat atau People’s Alternative Party (PAP) yang ditubuhkan oleh bekas anggota DAP mengumumkan untuk bertanding sekurang-kurangnya lapan kerusi Parlimen dan 34 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presidennya, Zulkifli Mohd Noor berkata, partinya mahu menampilkan kepimpinan yang sederhana dan cara berkempen yang bersih dengan kedudukan kewangan seimbang walaupun diakui pihaknya juga tidak mahu terlalu yakin.

“Isu yang akan difokuskan pada PRU14 nanti termasuk isu di peringkat nasional dan tempatan antaranya isu perumahan dan pendidikan,” katanya yang juga bekas naib pengerusi DAP pada sidang media di Sepang hari ini.

PAP yang mahu dikenali sebagai parti yang berlandaskan ideologi liberal demokratik mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 30 Oktober tahun lalu selepas menghantar permohonan pendaftaran pada 15 September 2014.

Sebelum ini, PAP yang turut mahu menjadi suara ketiga kepada rakyat yang tidak lagi percayakan parti-parti besar di negara ini telah mengumumkan akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan Dun di Pulau Pinang pada PRU14.

Pengumuman PAP itu sekaligus bakal menyaksikan pertembungan tajam di Selangor pada PRU14 ekoran sikap ‘tarik tali’ Pas dalam kerajaan negeri walaupun telah memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP selain berpatah arang berkerat rotan dengan Amanah.

Untuk rekod, kedudukan terkini kerusi Dun di Selangor menyaksikan DAP memiliki 15 kerusi, PKR dan Pas masing-masing 13 kerusi, BN (12), Amanah (2) manakala Bebas 1 (pro BN).

Bagi kerusi Parlimen di Selangor pula, PKR mempunyai 9 kerusi, BN (5), DAP (4), Amanah (3) dan Pas hanya satu kerusi.

TAGS