Parti komponen BN terhakis dengan persempadan semula

Parti komponen BN terhakis dengan persempadan semula

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Setiap kali ada persempadanan semula, parti-parti komponen bukan Melayu Barisan Nasional (BN) adalah mangsa sebenar kerana mereka akan hilang kerusi mereka satu persatu.

Rafizi ketika menerangkan program INVOKE yang kini mula menunjukkan hasilnya.Ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, ini berlaku kerana kerusi campuran yang ditandingi mereka kini bertukar menjadi kerusi majoriti Melayu yang dituntut oleh Umno.

Pada masa yang sama, suara pengundi bukan Melayu dikurangkan apabila pengundi dilambakkan di dalam satu kawasan tetapi dengan jumlah yang banyak (contoh Damansara dengan pengundi sebanyak 150,439 berbanding Parit dengan pengundi 33,368).

“Bodohlah parti-parti komponen BN bukan Melayu seperti MCA, MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain yang tidak boleh membaca permainan UMNO: dalam 2 pilihanraya sahaja mereka boleh menghapuskan terus kerusi-kerusi MCA, MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain dengan cara ini.

“Akhirnya UMNO akan bertanding 90% dari kerusi Parlimen dan selebihnya diagihkan di antara parti-parti bukan Melayu,” kata setiausaha agung PKR itu dalam kenyataannya.

Oleh sebab itu, kata Rafizi, beliau mengucapkan tahniah kepada Gerakan yang telah pun menyatakan secara terbuka bahawa mereka menentang cadangan persempadanan ini.

Menurut Rafizi, pasukan analisa data di INVOKE yang diketuai oleh beliau telah menyemak cadangan persempadanan semula yang dikemukakan oleh SPR.

Selain dari maklumat-maklumat yang telah sedia diketahui setakat ini, pola yang jelas ialah persempadanan ini akan mengurangkan kerusi-kerusi campuran kerana peralihan pengundi yang besar secara majoritinya melibatkan kerusi Parlimen campuran dan pengundi bukan Melayu.

Kerusinya pula hanya sedikit melibatkan kerusi yang ditandingi oleh Umno tetapi banyak yang ditandingi oleh parti komponen dalam BN.

Kerusi yang mengalami pertambahan pengundi.

Misalnya, dari senarai 16 kerusi yang menyaksikan penambahan pengundi mendadak, hanya 4 kerusi membabitkan kerusi yang ditandingi Umno.

12 kerusi adalah kerusi yang ditandingi parti komponen BN bukan Melayu iaitu MCA, MIC, Gerakan dan PPP.

Kerusi yang mengalami pengurangan pengundi.

Begitu juga dengan kerusi yang mengalami kekurangan undi yang mendadak – hanya 6 kerusi yang ditandingi UMNO, selebihnya (6 lagi) adalah kerusi yang ditandingi parti komponen bukan Melayu BN iaitu MCA dan MIC.

“Oleh yang demikian, jelas bahawa kesan jangka panjang persempadanan semula seperti ini adalah menghapuskan kerusi-kerusi campuran di seluruh negara yang menyebabkan kerusi majoriti Melayu (>70% pengundi Melayu) naik mendadak setiap kali persempadanan,” kata Rafizi.

TAGS