Parti mana yang tidak mahu satu lawan satu?

Parti mana yang tidak mahu satu lawan satu?

Rakyat kini boleh menghakimi dengan jelas, adil dan saksama parti mana yang sedang menggagalkan usaha satu lawan satu dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) selepas hampir dua tahun usaha keras parti dalam Pakatan Harapan (PH) untuk membawa Pas bersama. 

“PH telah membuka jendela perundingan dan ruang waktu yang mencukupi untuk pertarungan satu lawan satu bagi menumpaskan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kini, biarlah rakyat berbicara parti manakah yang menbuat durjana,” kata Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, sejak bermulanya isu PKR dan Bersatu cuba untuk mengadakan rundingan dengan Pas atas perhitungan politik bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam PRU14 akan datang, AMANAH mengambil sikap positif terhadap usaha mereka sementara memerhati dan mendengar dengan baik segala perkembangan perundingan yang berlarutan hampir dua tahun.

“Di samping menghormati hak rakan-rakan dalam PH untuk merealisasikan niat murni untuk memastikan berlakunya pertandingan satu lawan satu, AMANAH sebagai rakan dalam PH sekadar memberikan pandangan dan nasihat bila diminta berbuat demikian oleh pimpinan PKR dan Bersatu sama ada secara rasmi di dalam mesyuarat PH atau perbincangan tidak rasmi.

“Walau bagaimanapun, masa tidak menunggu kita semua. Kepantasan waktu berlari menuntut kepimpinan utama PH untuk membuat keputusan penting sekaligus mengatur strategi kemenangan bagi menghadapi berakunya PRU14 pada bila-bila masa dari sekarang,” tegasnya.

{loadposition myposition}

Justeru katanya, AMANAH yakin dan percaya keputusan Majlis Presiden PH (MPPH) secara kolektif yang telah memutuskan untuk tidak lagi mengadakan sebarang perundingan dengan Pas bukanlah satu keputusan yang mudah, terburu-buru atau pra matang.

“Keputusan Majlis Presiden PH telah dengan cermat, teliti dan sabar memperhitungkan segala kebijakan politik dan meraikan sepenuhnya perbezaan pendangan di kalangan pimpinan utama PH.

“Melalui keputusan MPPH sajalah yang berhak dan berkemampuan untuk merumus segala pendirian parti-parti dalam PH. Membina persepsi rakyat bahawa PH adalah tempat mereka bergantung harapan adalah keutamaan semua pimpinan utama PH,” katanya.

 

CATEGORIES
TAGS