Pas akan tanding kerusi DAP jika Pakatan Harapan tanding kerusi  tradisi Pas

Pas akan tanding kerusi DAP jika Pakatan Harapan tanding kerusi tradisi Pas

Pas akan bertanding di kerusi DAP yang berpotensi tinggi untuk dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) walaupun terpaksa melalui pertandingan tiga penjuru kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah

Beliau berkata keputusan itu diputuskan sekiranya Pakatan Harapan masih berkeras untuk bertanding di kawasan tradisi Pas.

“Jika kerusi DAP ada potensi dimenangi Pas, maka tidak salah Pas bertanding di kawasan berkenaan dalam amalan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan dipetik.

Sementara itu, Mohd Amar berkata Pas melihat kerjasama antara Pakatan Harapan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan menimbulkan masalah dari segi pembahagian kerusi.

“Mereka bergabung untuk melaksanakan kerjasama politik namun adakah DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempunyai kerusi tradisi sanggup menyerahkan kerusi kepada PPBM.

“Saya lihat ia akan menjadi masalah lebih-lebih lagi ada antara mereka yang bersikap egoistik,” katanya.

Mohd Amar turut mengulangi pendirian Pas tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah namun pintu rundingan masih terbuka untuk parti lain bagi melakukan kerjasama politik termasuk PPBM.

“Hingga kini rundingan masih berjalan antara Pas dengan PPBM untuk mencari kata sepakat,” katanya.

TAGS