Pas belum terima jemputan ke Konvensyen Pakatan Harapan pada 12 November

Pas belum terima jemputan ke Konvensyen Pakatan Harapan pada 12 November

 

 

 

 

 

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

NIk Abduh Nik Abdul Aziz

Pas hari ini mengesahkan belum menerima sebarang jemputan ke Konvensyen Pakatan Harapan yang akan diadakan pada 12 November depan.

Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz  dipetik berkata Pas tidak berhubung dengan Pakatan Harapan sebaliknya hanya mempunyai hubungan dengan PKR sahaja.

“Tidak ada (jemputan untuk sertai Konvensyen Pakatan Harapan) sebab tidak ada hubungan (kerjasama). Kita tidak berhubung dengan Pakatan Harapan, hanya mempunyai hubungan dengan PKR sahaja.

“Saya tidak fikir Pakatan Harapan akan jemput Pas sertai kabinet bayangan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Pakatan Harapan yang disertai PKR, DAP dan Amanah sudah memulakan rundingannya dengan parti pembangkang lain termasuk Pas dalam menjalinkan kerjasama melawan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua sekretariat gabungan itu, Datuk Saifuddin Abdullah turut membayangkan beberapa pengumuman penting termasuk kabinet bayangan pada konvensyen yang akan diadakan pada 12 November.

Saifuddin berkata, rundingan turut diadakan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita tidak fikir lagi (untuk tolak sekiranya ada jemputan). Tawaran itu tidak ada lagi sebab hubungan kita (hanya) dengan PKR. Jadi hubungan berkaitan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) itu kita tidak layan sebab sudah putus hubungan dengan mereka,” ujarnya.

TAGS