Pas berterima kasih Mufti Wilayah Persekutuan sokong RUU355

Pas berterima kasih Mufti Wilayah Persekutuan sokong RUU355

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pas merakam jutaan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Al Bakri kerana menyatakan sokongan dan menyeru agar semua ahli Parlimen, khasnya mereka yang beragama Islam menyokong RUU355.

Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu yakin semua Mufti menyokong RUU 355 kerana ia adalah sebahagian dari usaha meningkatkan martabat Mahkamah Syariah.

“Alangkah baiknya kalau semua mufti mengeluarkan gesaan yang sama kepada semua ahli Parlimen.

“Isu RUU 355 tidak perlu dipolitikkan, kerana ia bukan isu politik, kerana ia adalah tanggungjawab semua umat Islam.

“Bahkan, isu ini tidak perlu dipolemikkan oleh mana-mana pihak untuk mengelakkan terjejasnya hubungan baik yang sedia ada dan sikap saling hormat-menghormati antara agama yang sudah sedia terjalin,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, dalam suasana negara menyambut kemerdekaan yang ke 59, negara perlu berganjak kepada suasana lebih baik dari yang ada, bukan sahaja dari aspek ekonomi bahkan hubungan antara agama dan kaum.

Oleh itu, ujarnya lagi, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mengukuhkan hubungan antara kaum dan agama.

“Semoga langkah yang diambil oleh Mufti Wilayah akan menyemarakkan lagi usaha dalam memahamkan masyarakat umum terhadap RUU 355 dan bergerak senada bagi menyokong rang undang-undang tersebut secara harmoni dan berdakwah,” ujarnya.

Semalam Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menyeru semua Ahli Parlimen Malaysia menyokong Rang Undang-undang pindaan Akta 355 yang bakal dibahaskan di Parlimen Oktober nanti.

Seruan itu dipetik dari tulisan terbaharu beliau dalam Bayan Linnas bertajuk ‘Isu Cadangan Pindaan Akta 355: Satu Pendapat’ di portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Dr. Zulkifli berpendapat, ia mesti disokong kerana dibentang oleh wakil rakyat yang membawa aspirasi para pengundi Islam yang mahukan pemerkasaan Mahkamah Syariah di Malaysia dan menunjukkan tanggungjawab seorang ahli Parlimen yang juga mewakili keperluan dan kebajikan rakyat beragama Islam terutama sekali ia meliputi hal kekeluargaan, hal kesucian aqidah dan isu-isu masjid, waqaf, zakat dan sebagainya di kawasan parlimen masing-masing.

TAGS