PAS bukan musuh utama Umno, kata perwakilan Terengganu

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

PAS tidak perlu dilihat sebagai musuh utama Umno, sebaliknya parti berpaksikan Islam itu adalah sahabat yang mampu mengembalikan sokongan terutamanya orang Melayu kepada Barisan Nasional, kata wakil Umno Terengganu Datuk Din Adam.

Membahaskan ucapan dasar Presiden Umno pada hari kedua Perhimpunan Agung Umno 2015 di sini, Ketua Umno Bahagian Dungun itu menarik perhatian cadangan kerjasama dengan parti, yang pernah membolot kesemua lapan kerusi Parlimen di Terengganu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, adalah langkah bijak.

“Di Terengganu, majoriti pengundi adalah berbangsa Melayu dan parti Umno dan Pas adalah dua parti tunjang negeri. Pada PRU ke-13 kita menang banyak kawasan di pedalaman, kawasan bandar kita tak menang.

“Jadi saya setuju sangat kerjasama ini. Jangan pandang Pas sebagai musuh utama kita, kita kena lihat musuh utama kita DAP, sebab orang Pas adalah seagama dan sebangsa kita, tak mustahil kalau sistem (kerjasama) kita dilaksana baik, saya yakin di Terengganu orang yang menyokong Pas akan kembali menyokong BN,” katanya.

Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasarnya menghulurkan “tali silaturahim” kepada Pas untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam selepas parti itu “disepak dan diterajang keluar” oleh rakan-rakan pembangkangnya.

TAGS