Pas dan Amanah disaran bertanding di dua PRK, uji sokongan pengundi

Pas dan Amanah disaran bertanding di dua PRK, uji sokongan pengundi

Pas dan Amanah dicadang bertanding di kedua-dua pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai ukuran parti mana yang lebih diterima pengundi di dua parlimen itu.

Penulis buku politik Hasbie Muda berkata, walaupun kebarangkalian untuk kalah bagi kedua-dua parti adalah tinggi jika berlaku pertandingan tiga penjuru, namun ia boleh menjadi iktibar untuk pilihan raya umum (PRU) ke-14.

“Elok Amanah dan Pas bertanding di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Ia sebagai ukuran parti mana yang lebih diterima di kerusi-kerusi itu dan kerusi-kerusi seumpamanya.

“Peluang kalah kedua-duanya adalah cerah apabila berlaku tiga penjuru. Tetapi ia boleh menjadi iktibar untuk PRU14 yang lebih penting. Baik bergaduh sekarang daripada bergaduh dalam PRU14,” tulisnya di facebook.

Hasbie juga berkata, perubahan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak mampu mengubah kerajaan pusat.

Beliau yang juga ketua pemuda Amanah Terengganu ketika dihubungi Malaysia Dateline bagaimanapun berkata ia cuma pandangan peribadi dan tidak mewakili Amanah.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kedua-dua penyandang, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau pada 5 Mei lepas.

Pada PRU ke-13, Noriah memperoleh 18.695 undi sementara calon Pas, Mohamed Salleh M Husin mendapat 18,296 undi.

Manakala Mohammad Khair-il Anuar memperolehi 14,218 undi sementara calon Pas, Drs Khalil Idham Lim Abdullah mendapat 13.136 undi dan calon Bebas, Datuk Kamilia Ibrahim mendapat 447 undi.

Sebelum ini,  Ketua Pengarah Pilihan raya Pas, Datuk Mustafa Ali berkata parti itu akan bertanding di kedua-dua kerusi tersebut.

Manakala presiden Amanah Mohamad Sabu pula berkata, parti itu akan berbincang mengenai PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 15 Mei ini dan akan membuat keputusan sama ada akan bertanding atau tidak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat hari ini telah menetapkan PRK bagi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar dijalankan serentak pada 18 Jun depan.

Tarikh penamaan calon pada 5 Jun dan pengundian awal ditetapkan pada Selasa 14 Jun.

Perkara ini diumumkan Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dalam sidang media di Pejabat SPR di Putrajaya pagi tadi.

TAGS

COMMENTS