Pas dan Ikatan sah bekerjasama tubuh blok politik ketiga

Pas dan Ikatan sah bekerjasama tubuh blok politik ketiga

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) hari ini, secara rasmi mengadakan kerjasama politik dalam blok ketiga yang diumumkan Pas minggu lalu.

Ikatan adalah parti yang diketuai bekas menteri, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang ditubuhkan pada 2012 dan didaftarkan pada 2015.

Presiden Pas Datuk Abdul Hadi Awang dalam kenyataan media bersama Abdul Kadir berkata, pertemuan hari ini membuka ruang ke arah membina suatu kumpulan persefahaman kerjasama politik lebih tersusun yang sedang digagaskan oleh Pas.

“Pas membawa model politik matang, terbuka, bertanggungjawab, bersih dan sejahtera bersama parti-parti politik dan NGO yang ingin turut serta,” katanya.

Kerjasama politik tersebut juga menurut Abdul Hadi menuntut mereka bergerak di atas teras penyelesaian dan politik membina, di samping menolak budaya politik oportunis, kasar dan perkauman sempit yang boleh menggugat keharmonian dan kamjuan negara ini.

“Ini adalah detik kebersamaan dalam menentang kerosakan dan kemungkaran, seterusnya bersama dalam mengukuhkan kebaikan sebenar bagi rakyat,” katanya lagi.

Minggu lalu setiausaha agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan pembentukan blok politik ketiga yang diharap setanding dengan Pakatan Harapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pertemuan hari ini antaranya membincangkan kepincangan rasuah yang berleluasa dan menular ke seluruh peringkat pentadbiran kerajaan, swasta, di bank dan pelbagai institusi lain.

Turut dibincangkan adalah usaha membentuk bangsa Malaysia yang benar-benar bersatu-padu, adil dan saksama serta sejahtera dan kemajuan dalam pengguna bahasa Melayu sebagai alat terpenting dalam usaha pembinaan negara bangsa.

TAGS