PAS dan Umno diseru cari jalan tengah setuju kerjasama politik

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadot menyeru PAS dan Umno mencari jalan tengah untuk membolehkan mereka mengadakan kerjasama politik antara mereka.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadot menyeru PAS dan Umno mencari jalan tengah untuk membolehkan mereka mengadakan kerjasama politik antara mereka.

Kerjasama ini pula, katanya, perlu bukan sekadar di kalangan pemimpin atasan sahaja tetapi juga melibatkan akar umbi kedua-dua parti.

Datuk Noh Gadoot“Kita  kena berbincang. Apa maknanya kalau hanya dua pemimpin parti  bersetuju  dengan kerjasama politik sebaliknya akar umbi pula tidak bersatu?

“Saya faham  jika dicampur semua ahli PAS dan Umno dianggarkan 4 juta jika ada tentangan cari jalan tengah untuk mendapatkan suara majoriti yang menyetuju kerjasama politik ini,” ujarnya.

Beliau mengulas kehadiran Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Dr Abdul Hadi Awang dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 semalam.

Bagi beliau, perpaduan masyarakat Melayu Islam  perlu diambil pendekatan secara holistik bagi  memastikan  pemimpin dan akar umbi kedua-dua parti terbesar Melayu itu menerima  kerjasama politik sebagai satu kekuatan umat Melayu Islam di nusantara dan dunia.

“Pertemuan dua pemimpin ini adalah sesuatu yang luar biasa sewajarnya itulah menjadi sebagai panduan dan pedoman orang-orang Melayu di negara ini.

“Perpaduan itu satu kewajiban dan perpecahan itu satu dosa besar di kalangan mereka yang menolaknya dalam menjalani kehidupan seharian.

“Apatah lagi membabitkan pemimpin dan ahlinya yang berbeza ideologi sedikit, tetapi masih bersama dalam kumpulan Islam untuk mendapatkan kekuatan daripada kuasa politik yang ada pada parti mereka.

“Maka itu amat perlu pada masa ini parti-parti bertunjangkan dasarnya  Melayu dan Islam wujudkan kesatuan,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Beliau memperjelaskan maksud ‘kesatuan’ itu dengan melingkungi kepentingan Maqasid Syariah.

“Perlu adanya kesatuan hati, kesatuan fikiran, kesatuan matlamat, kesatuan hala tuju yang tidak lari daripada maqasid syariah.

“Umat Islam tidak boleh berpecah, anggaplah perbezaan itu satu kelebihan dan kekurangan masing-masing satu  nikmat yang membawa kepada kebaikan sebagaimana pertemuan dalam majlis hari ini.

“Dua pemimpin cuba mencari persamaan dalam sesuatu isu berkaitan umat Islam,” ujarnya lagi.

Bekas Mufti Negeri Johor ini berkata, orang Melayu daripada PAS dan Umno perlu bersyukur kedua pemimpin mereka saling tegur menegur melalui ucapan-ucapan mereka.

“Apabila kita lihat ada kelebihan kita beryukur dan ditambah baik, apabila kita melihat kelemahan wajib diperbetulkan, jika dikekalkan akan membawa mudarat pada diri, umat dan negara,” tegasnya.

Ditanya tentang ucapan yang banyak menjurus kepada isu-isu global umat Islam tanpa menyatakan pendirian dua pemimpi parti terhadap ‘kerjasama politik’, beliau menjelaskan, di peringkat permulaan pertemuan dua pemimpin itu, perlu menyatakan pendirian mereka tentang perkara yang diluar bidang mereka.

“Yang hadir dalam multaqa ini bukan sahaja ahli politik, penyokong parti tetapi ramai ilmuan Islam dari dalam dan luar negara.

“Sudah pasti isu-isu yang sesuai diucapkan adalah yang dekat kepada jiwa masyarakat Melayu di nusantara ini dan masyarakakt Islam di seluruh dunia dalam konteks penyatuan ummat Islam menentang dakyah barat.

“Saya fikir buat masa ini, selepas pertemuan ini, banyakkanlah duduk berbincang isu-isu mengenai kejahilan dan buta huruf, kemiskinan dan penderitaan hidup, penyakit, aktiviti musuh Islam yang semuanya perlu digarap dan dibincangkan bersama. Itu juga  boleh dikatakan ‘kerjasama politik’ dua parti,” ujarnya.

Malah beliau berkata untuk membincangkan tentang kerjasama politik untuk menang  pilihan raya, beliau menekankan kedua parti perlu berbincang membabitkan akar umbi parti masing-masing.

“Walaupun perbezaan dasar parti itu berlaku tetapi ia satu rahmat bukan ada musibah pun.

“Letakkan perjuangan politik itu juga dalam landasan maqasid syariah. Kalau ini dapat digarapkan terus dan di bincang hingga ke akar umbi,” katanya.

TAGS