Pas gelar Najib menteri kewangan Malaysia ‘terhebat’

Pas gelar Najib menteri kewangan Malaysia ‘terhebat’

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap sikap bisu dan kaku menteri kewangan Malaysia berhadapan skandal-skandal kewangan paling kronik sekarang mewajarkan beliau dinobatkan sebagai ‘terhebat’ dan bertanya apakah perlu rakyat terus membayar gaji kepada menteri kewangan seperti itu.

“1MDB diisytiharkan ingkar selepas gagal membayar faedah AS$50.3 juta untuk bon berbilion-bilion dolar yang dijamin oleh International Petroleum Investment Corporation (IPIC) namun tiada sebarang komen daripada menteri kewangan Malaysia yang juga Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebuah akhbar Singapura pula katanya melaporkan bahawa Presiden and Ketua Eksekutif 1MDB Arul Kanda telah memaklumkan kepada perdana menteri bahawa kerajaan terdedah kepada hutang lebih AS$6.481 bilion” kepada Abu Dhabi, menteri kewangan Malaysia membisu.

Menteri kewangan juga katanya terus membisu tentang apakah impak keingkaran ini kepada negara, hutang-hutang negara yang lain dan juga nilai Ringgit dalam jangka panjang dan pendek.

Menurut beliau, Arul sebelum ini berkata perjanjian penyelesaian hutang 1MDB dengan International Petroleum Investment Co (IPIC) akan melihat pengurangan hutang syarikat sehingga RM16 bilion.

“Apakah persengketaan antara 1MDB dan IPIC telah menggagalkan pelan rasionalisi yang dipelopori Arul?, soal beliau.

Menteri Kewangan juga katanya tidak ambil pusing tentang soal-soal berapakah hutang 1MDB setelah IPIC tidak mahu meneruskan perjanjian itu? Siapakah dan apakah harta 1MDB (apakah Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange) tanah emas milik negara akan dicairkan untuk membayar hutang 1MDB? Siapa yang akan bertanggungjawab?

Najib katanya sibuk mengwar-warkan “kejayaan” Program Transformasi Negara (NTP) yang kesannya tidak dapat dirasai rakyat selain kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Ini bukti Malaysia mempunyai menteri kewangan yang “terhebat.”, sudah sampai masanya rakyat bertanya apakah perlu rakyat terus membayar gaji kepada menteri kewangan “terhebat” ini?, soalnya.

PAC katanya, perlu memanggil semula Arul bagi mengetahui pelbagai hutang 1MDB yang masih gagal didedahkan.

“Berapakah jumlah sebenar hutang 1MDB?

“Kepada saudara Arul, dedahkanlah semua sebelum terlambat. Ini adalah jasa terbesar saudara kepada rakyat Malaysia,” katanya.

TAGS