Pas gesa tubuh Suruhanjaya Siasatan DiRaja kaji tragedi Memali

Pas menggesa Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) dibentuk bagi mengkaji tragedi Memali yang berlaku ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, RCI perlu ditubuhkan segera kerana timbul pelbagai kenyataan yang bercanggah dengan fakta sebenar.

“Memandangkan timbulnya pelbagai kenyataan yang bercanggah dengan fakta sebenar, Pas menggesa satu siasatan yang telus dan adil dapat dijalankan untuk membongkar tragedi Memali.

“Pas mendesak agar satu Suruhanjaya DiRaja diwujudkan bagi menyiasat semula tragedi Memali bagi memberikan keadilan kepada semua pihak dan membersihkan nama-nama mereka yang tidak bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985 mengorbankan 14 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang.

Dalam serangan polis terhadap orang kampung itu, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya terbunuh.

Dalam satu forum ‘Diskusi Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang’ yang berlangsung di Kota Bharu pada 2014, bekas Timbalan Perdana Menteri ketika Tan Sri Musa Hitam berkata peristiwa Memali merupakan titik hitam dalam kerjaya politiknya.

Sebelum itu, Tan Sri Musa mengejutkan negara dengan pendedahan bahawa ketika peristiwa berdarah itu berlaku, Dr Mahathir masih berada di Kuala Lumpur pada hari kejadian, bukan di China seperti dakwaan sebelum ini.

Di Baling, pada tanggal 24 Mei 2014 yang lalu, Pas telah mengadakan Himpunan Keadilan Untukmu Memali yang dihadiri oleh seluruh kepimpinan Pas ketika itu.

Satu forum khas bertajuk ‘Tragedi Memali: Pembetulan fakta sejarah menolak pembohongan kertas putih Kerajaan Malaysia’ telah diadakan ketika itu dan saksi-saksi kejadian Memali tampil mendakwa bahawa Kertas Putih mengenai peristiwa Memali yang dibentangkan oleh kerajaan di Parlimen adalah penuh dengan pembohongan.

{loadposition myposition}

Justeru, Tuan Ibrahim mempersoal kenyataan Dr Mahathir bahawa polis hanya mempertahankan diri apabila diserang orang kampung.

“Apakah mereka yang pernah menghadiri himpunan tersebut dan mengikuti kes Memali secara dekat kini bersetuju dengan versi tragedi Memali seperti yang didakwa Dr Mahathir semalam bahawa pihak polis bertindak dengan betul bagi mempertahankan diri?

“Atau kebenaran tidak lagi penting pada sesetengah mereka kerana mereka kini memerlukan Dr Mahathir untuk pilihanraya umum ke-14?” soalnya.

Beliau juga menggesa keajaa membuat permohonan maaf secara terbuka kepada mangsa Memali.

“Pas kesal tragedi yang sepatutnya boleh dielak dari berlakunya pertumpahan darah itu berakhir dengan tindakan sangat zalim.

“Sewajarnya, pada pandangan Pas, kerajaan perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada mangsa Memali,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mempertahankan keputusan yang dibuat dalam peristiwa Memali dengan mengatakan polis hanya mempertahankan diri.

“Kalau awak datang dengan parang dan bunuh pegawai polis, maka mereka mestilah sanggup terima balasan daripada polis.

“Polis mesti pertahankan diri mereka,” katanya menerusi video yang disiarkan di akaun Facebook Bersatu kelmarin.

Dr Mahathir mengutarakan pendirian yang sama pada forum Nothing to Hide 2.0 Ahad lepas, apabila penjelasannya diganggu sekumpulan pengacau yang membaling selipar dan botol air dan suar ke arahnya.

TAGS