Pas-Ikatan dan Pakatan Harapan bercita-cita takluk Putrajaya, kata Noh Omar

Pas-Ikatan dan Pakatan Harapan bercita-cita takluk Putrajaya, kata Noh Omar

Umno Selangor tidak gentar dengan Pakatan Harapan atau blok politik ketiga yang baru ditubuhkan antara Pas-Ikatan dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke 14 akan datang, kata Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Noh Omar.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Datuk Seri Noh OmarUmno Selangor tidak gentar dengan Pakatan Harapan atau blok politik ketiga yang baru ditubuhkan antara Pas-Ikatan dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke 14 akan datang, kata Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, sesiapa sahaja boleh menubuhkan parti dan bergabung parti untuk mencari kekuatan menentang parti lawan, ia bukan satu masalah kepada Umno-BN.

“ Bagi saya tubuhlah gabunglah berapa banyak pun parti dan pakatan. Semua parti itu tidak boleh bergantung kepada mencari kelemahan parti lawan semata-mata untuk menang pilihan raya, sebab lumrahnya semua parti nak menang pilihan raya.

“Apapun yang berlaku hari ini, akhirnya mereka (Pas-Ikatan) akan bersatu juga dengan musuh mereka (Pakatan Harapan) kerana mereka semua bercita-cita nak pergi Putrajaya,” ujarnya kepada Malaysia Dateline sebelum berlansungnya Perasmian Sererentak Persidangan Umno Cawangan Negeri Selangor baru-baru ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kerjasama politikblok ketiga antara Pas-Ikatan serta pembubaran pakatan rakyat yang kini dikenali Pakatan Harapan yang dianggotai PKR,DAP dan Amanah.

Ahli Parlimen Tanjong Karang ini juga berkata beliau tidak memahami tujuan Pas wujudkan blok ketiga dengan Ikatan yang diterajui Tan Sri Abdul Kader Sheikh Fadzir, bekas pemimpin Umno itu.

“Pas-Ikatan apa sebenarnya perjuangan mereka bekerjasama wujudkan blok politik ketiga itu setelah Pas tidak lagi sebaris dengan Pakatan Harapan. Malah beliau (Abdul Kader) sejak keluar Umno lama menyepi kembali muncul bergabung dengan Pas, itu juga boleh dipersoalkan nawaitunya terhadap Umno-Pas sedangkan presiden kedua-dua parti telahpun bersetuju bekerjasama demi penyatuan umat Melayu dan Islam.

“Nak tahu juga apa asas dan hala tuju perjuangan mereka (Pas-Ikatan) saya lihat masih tidak jelas. Tidak seperti kita tahu hala tuju dalam Pakatan Harapan, kita tahu tujuannya nak bebaskan Anwar Ibrahim dan takluk Putrajaya.

“Saya nak kata, jika mereka(pakatan pembangkang) mahu bertanding berapa penjuru sesama sendiri, kita tidak gentar. Bertandinglah dua penjuru ke tiga penjuru ke empat penjuru sekalipun Umno-BN tidak gentar,” jelasnya.

Ujarnya lagi, apa yang sedang Umno Selangor lakukan hari ini sebagai pembangkang di Selangor, adalah untuk merampas semula Selangor dengan menguatkan jentera parti di setiap peringkat.

Ditanya mengenai sokongan ahli akar umbi di Selangor terhadap  penentangan Presiden Umno melalui Deklarasi Rakyat, Noh berkata, ahli Umno setiap peringkat telah menyatakan pendirian menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak dan menolak Deklarasi Rakyat yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Di Tanjong Karang sahaja 11 cawangan sudah menyatakan sokongan tidak berbelah bagi terhadap Presiden. Kita belum lagi menjalankan mesyuarat cawangan seluruh Selangor, tunggu dan lihatlah dalam tempoh sebulan ni,” ujarnya tanpa mahu mengulas lanjut.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dalam PRU ke-12 menyaksikan BN memperoleh 22 kerusi berbanding Pakatan Rakyat 36 kerusi dan pada PRU ke-13 BN tewas teruk hanya memperoleh 16 kerusi berbanding Pakatan Rakyat 42 kerusi yang membolehkan Pakatan Rakyat terus kekal memerintah di Selangor dua penggal.

TAGS