Pas-Ikatan: ‘Pembesar suara’ parti kecil sertai blok politik ketiga, kata Mohd Zuhdi

Pas-Ikatan: ‘Pembesar suara’ parti kecil sertai blok politik ketiga, kata Mohd Zuhdi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Blok ketiga yang menggabungkan Pas dan Ikatan akan menjadi ‘pembesar suara’ kepada parti-perti kecil, badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh perseorangan, kata Pengarah Pusat Penyelidikan Pas (PPP) Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Beliau menjangkakan lebih banyak parti, badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh perseorangan akan menyertai blok ketiga.

Penyertaan kumpulan-kumpulan tersebut katanya akan menjadikan blok ini ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan blok-blok yang lain, malah berkemungkinan ia akan menjadi lebih besar.

“Pembentukan blok Ketiga ini, biarpun dipandang sinis oleh pihak-pihak tertentu, diyakini akan menjadi ‘pembesar suara’ kepada parti-parti kecil, NGO dan tokoh perseorangan.

“Sebelum ini, suara kumpulan dan toko ini yang mewakili pelbagai latar belakang masyarakat tidak begitu didengari disebab jangkauan mereka yang begitu terbatas. Dengan wujudnya blok ketiga suara mereka akan menjadi bergema dan sekaligus memberi manfaat kepada masyarakat yang diwakili,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Zuhdi juga, keterbukaan Pas untuk duduk semeja dengan mana-mana kumpulan dan tokoh yang mewakili pelbagai latar belakang masyarakat adalah satu usaha untuk mengangkat suara mereka di peringkat nasional.

Kemunculan kumpulan-kumpulan ini ujarnya, mungkin dianggap sifar oleh sesetengah pihak, tetapi apabila suara-suara mereka digabungkan ia akan bergema.

“Blok-blok politik yang angkuh perlu diingatkan keangkuhan mereka boleh sahaja diranapkan oleh kuasa sifar, kerana sebarang angka yang didarabkan dengan sifar akan menjadi sifar pula,” tegasnya.

Beliau menambah, daripada pemerhati PPP, selepas pilihan raya umum ke-13 PRU ke 13, muncul banyak parti kecil yang mewakili pelbagai segmen masyarakat dan dianggarkan tidak kurang dari 20 parti baru telah didaftarkan sejak 2013.

“NGO dan tokoh-tokoh perseorangan di Malaysia juga semakin mempunyai pengaruh yang cukup besar untuk mencorakkan landskap politik Malaysia. Meskipun NGO dan tokoh perseorangan tidak menyertai politik secara langsung, tetapi suara mereka mula bergema sehingga memungkinkan ia merubah corak dan budaya politik dalam negara ini.

“Contoh yang paling menonjol hari ini ialah gabungan ratusan NGOs dan puluhan tokoh-tokoh perseorangan di bawah Kongres Rakyat yang tampil memperjuangkan isu-isu nasional seperti Perjanjian Perkongsian Trans pasifik (TPPA) dan Sistem Dwi Bahasa (DLP),” katanya.

Pada 16 Mac lalu, Pas mengumumkan permuafakatan baharu bersama Ikatan yang dipimpin bekas menteri Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata sebuah sekretariat akan diwujudkan antara Pas dan Ikatan yang disertai kepimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk merangka dan berbincang agenda kerjasama berkenaan.

TAGS