Pas ikut Umno guna sentimen perkauman, kata Pemuda AMANAH

Pas ikut Umno guna sentimen perkauman, kata Pemuda AMANAH

Pas tidak mampunyai kemampuan untuk mentadbir negara yang begitu dinamika dari segi demografi penduduknya yang berbilang kaum, kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional Faiz Fadzil.

Beliau berkata, sentimen perkauman yang dimainkan Pas kini tidak langsung mencerminkan sikap kepimpinan yang bertanggungjawab bagi membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik.

“Sekiranya mereka ingin menjadi peneraju kepimpinan dalam negara ini, maka sentimen perkauman sepertimana yang menjadi amalan Umno dinyahkan secara total.

“Sebaliknya Pas mendombakan isu ini bagi meraih sokongan termasuklah menghalalkan polisi zalim dan menekan rakyat yang menjadi amalan pimpinan BN kini.

“Kerjasama dalam urusan memecahbelahkan masyarakat pelbagai kaum termasuklah yang bukan Islam adalah suatu gerakan yang tidak wajar dipraktikkan sekiranya ingin menjadi peneraju negara ini,” katanya ketika ditemui di Konvensyen AMANAH Pulau Pinang semalam.

{loadposition myposition}

Menurut peguam itu juga, sikap Pas terhadap bukan Islam di negara ini kini bukan lagi atas sikap persahabatan, tetapi lebih condong seperti tuan dan hamba.

“Sikap yang diamalkan ini boleh membawa negara dalam situasi huru-hara serta tidak mampu untuk membawa negara ke hala tuju yang lebih baik sekiranya mereka menerajui kepimpinan.

“Selain itu keintiman Pas dengan Umno turut mengecewakan lebih 52 peratus pengundi yang telah menolak Umno dan BN dalam sejarah pilihan raya umum yang lalu.

“Apa yang sedang dipertontonkan oleh Pas kepada rakyat negara ini juga mempamirkan wajah sebenar yang akan mereka lakar sekiranya berjaya menerajui kekuasaan dalam pilihan raya nanti,” ujarnya.

Justeru, tegasnya, memberi mandat kepada Pas akan menggalakkan lagi berlakunya tekanan kepada rakyat melalui polisi yang sedang diamalkan oleh Umno dan BN.

Tambahnya lagi, bagi memastikan nasib rakyat dapat dibela dengan menolak sentimen kaum, cukai yang menindas seperti GST, pemotongan subsidi yang melampau sehingga menyukarkan bantuan kepada rakyat marhaen, Pas dan Umno wajib dinyahkan secara total.

“Rakyat tidak harus memberi sedikit pun ruang kepada Pas dan Umno dalam pilihan raya umum yang akan datang.

“Tolak mereka secara menyeluruh bukan saja bagi kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, tetapi juga kerus-kerusi Parlimen yang akan ditandingi nanti.

“Keberanian rakyat untuk membawa perubahan dalam negara hanyalah dengan menolak Pas dan juga Umno serta BN dengan memberi mandat kepada Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum yang akan datang,” katanya lagi.

Tegasnya lagi, sekiranya Pas dan Umno serta BN menerajui kepimpinan untuk tempoh lima tahun lagi, rakyat akan lebih sengsara dan merana dalam jangka masa yang amat panjang.

CATEGORIES
TAGS