Pas jamin Himpunan RUU 355 lancar, aman

Pas jamin Himpunan RUU 355 lancar, aman

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini memberi jaminan Himpunan RUU 355 esok di Padang Merbok, Kuala Lumpur akan berjalan lancar dan aman.

 

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini memberi jaminan Himpunan RUU 355 esok di Padang Merbok, Kuala Lumpur akan berjalan lancar dan aman.

Beliau berkata pasukan keselamatan juga telah berjanji akan melakukan yang terbaik bagi memastikan aspek keselamatan orang ramai yang menyertai perhimpunan itu.

“Himpunan ini juga mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa keselamatan, jadi apa sahaja tindakan provokasi yang cuba dicetuskan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab akan diambil tindakan oleh pasukan keselamatan.

“Saya harap penyokong Pas juga dapat hadir dengan aman dan tenang agar matlamat kita tercapai bagi menyokong pindaan Akta 355 bagi tujuan memperkasakan kedudukan mahkamah syariah di dalam sistem perundangan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Rusila hari ini.

Abdul Hadi berkata lebih 200,000 orang dijangka hadir ke himpunan itu termasuk masyarakat bukan Islam.

“Kita jemput semua hadir.Kita umum secara terbuka untuk sama-sama menzahirkan sokongan untuk memperkasakan Islam dan pada masa sama memberi kebebasan kepada bukan Islam mengamalkan kepercayaan mereka.

“Setakat ini, saya sahkan ada wakil kerajaan yang akan hadir,” katanya.

Perhimpunan tersebut bertujuan memberi penjelasan dan meraih sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) atau Akta 355 bagi memperkasa mahkamah syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.

Program itu dijangka bermula seawal 2.30 petang dan berakhir 11 malam dengan beberapa aktiviti seperti soal jawab agama oleh penceramah terkenal dan ucapan oleh wakil-wakil NGO yang hadir, wakil kerajaan dan oleh Abdul Hadi.

TAGS