PAS Kedah sedia kerjasama dengan Umno dan NGO

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

PAS Kedah bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang dapat menerima prinsip parti Islam itu bersesuaian dengan amalan demokrasi di Malaysia.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin bin Syeikh Fakhrurazi berkata, PAS sedang mempelbagaikan pendekatan untuk memperkenalkan prinsip dan dasar perjuangannya.

“PAS terbuka untuk membincangkan masalah ummah, pembangunan kemanusiaan, ekonomi negara, politik Islam atau sosial.

“Perkara penting ialah bagaimana membentuk sebuah masyarakat harmonis dan bertamadun dalam acuan syariat Islam,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Ketika ditanya sama ada perbincangan pelbagai isu ini akan turut melibatkan Umno atau tidak, beliau berkata ia tidak seharusnya memberi maksud ‘memberi talian hayat kepada Umno’.

“Konsep ta’awun (bantu) perlu diperluaskan maksudnya dan ia tidak seharusnya membawa maksud memberi talian hayat kepada Umno kerana Umno dalam keadaan nazak dengan palbagai isu,” katanya lagi.

Terdahulu, menurut satu sumber kepada Malaysia Dateline, PAS sedang bergerak ke arah satu konsep politik baharu iaitu ta’wun dan istianah yang membawa maksud tolong-menolong dan bantu-membantu.

Sumber dari Kedah ini memberitahu, konsep dipersetujui oleh majlis syura ulama PAS untuk digunakan bagi kerjasama dengan Umno.

Ahmad Fakhruddin bagaimanapun berkata beliau tidak mempunyai maklumat berhubung dakwaan itu.

Beliau sebaliknya menegaskan pendirian PAS Kedah bahawa tiada hubungan kerjasama politik dengan Umno.

“Pas Kedah berpendirian tiada hubungan kerjasama politik dengan Umno.

“Pas Kedah sentiasa memberi pandangan dalam konsep ‘semak imbang’ bagi menyemarak sistem demokrasi khususnya d Kedah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat Dr Khairuddin Aman Razali dalam satu kenyataan semalam, mendakwa ada usaha memperalatkan media baharu untuk mengecam dan memperkecilkan pendekatan parti itu untuk berbincang, bertemu dan bermuzakarah dengan pelbagai pihak sama ada organisasi politik mahupun pelbagai NGO.

Beliau mendakwa pendekatan terkini PAS itu mungkin tidak disenangi oleh setengah pihak berkepentingan ‘yang bimbang PAS menjadi lebih kuat, berpengaruh dan berperanan lebih besar dalam arena politik tanah air’.

Beliau berkata, PAS yang berjuang di arena dakwah dan politik sejak 1951, telah melalui pelbagai pengalaman dan melaksanakan pelbagai strategi dan pendekatan dalam membawa risalah perjuangannya antaranya tahaluf Siyaasi dengan pelbagai parti politik.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah dua kali mengajak PAS untuk mengadakan kerjasama.

Kali pertama sewaktu Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 pada 10 Disember lalu, untukmenghulurkan ‘tali silaturahim’ kepada PAS  bersama membina dan membangunkan negara mengikut syariat Islam dan melahirkan rasa gembiranya kerana PAS tidak lagi bersama pakatan pembangkang . Tawaran kedua pula ketika Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 pada 17 Disember lalu.

 

TAGS