Pas kitar semula propaganda Umno momokkan Melayu

Pas kitar semula propaganda Umno momokkan Melayu

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menyifatkan Pas pada masa ini tidak lebih hanya mengitar semula tohmahan dan propaganda Umno untuk memomokkan pengundi Melayu.

Menurutnya, Pas jauh berbeza dengan pendiriannya sebelum ini yang turut tegas menafikan dakwaan kononnya DAP bersifat ‘along’ atau menguasai blok pembangkang.

“Saya kecewa Pas sebaliknya sekarang sanggup menipu orang Melayu dengan menggunakan propaganda Umno.

“Pas sekadar memperalat ketakutan, tidak bercakap hal yang benar, (Pas) hilang kredibiliti apabila berubah-ubah (pendirian) mengikut kepentingan politik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi kelmarin yang mengaitkan undi kepada Pakatan Harapan adalah undi kepada DAP.

“Pergerakan DAP turut dibayangi agenda Evangelis Kristian dan bercita-cita menawan untuk mengsekularkan negara ini.

“Bahkan tindak-tanduk DAP jelas mahu menjadi dominan dalam Pakatan Harapan, sekali gus menentu arah setiap tindakan pakatan itu,” dakwa anak Presiden Pas itu lagi.

{loadposition myposition} Walau bagaimanapun, Khalid berpendapat DAP tidak mungkin menjadi parti yang menguasai Pakatan Harapan malah tidak pernah muncul paling dominan ketika dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.

“Jumlah kerusi (Parlimen) yang ditandingi DAP (pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu) adalah paling kecil berbanding PKR 99 kerusi, Pas (73) dan DAP bertanding 51 kerusi.

“Angka 51 kerusi itu kecil berbanding rakan-rakan (pembangkang) lain, kurang daripada separuh. Bagaimana DAP boleh jadi paling dominan?

“Kalau DAP menang pun di kesemua kerusi ditandinginya, itu masih jauh daripada boleh menubuhkan kerajaan yang memerlukan (majoriti mudah) 112 kerusi,” jelasnya.

Hal tersebut, katanya, berlainan dengan Umno dalam BN yang bertanding lebih 130 kerusi Parlimen dan menang 88 kerusi manakala parti-parti komponen lain menang lebih kurang hanya 50 kerusi.

“Itu baru benar Umno dominan sebab menang lebih daripada separuh,” tegas Ahli Parlimen Shah Alam itu lagi dalam forum Helo Roket semalam.

Turut hadir dalam program yang dimoderatorkan Aaliah itu adalah Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua merangkap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

CATEGORIES
TAGS