Pas mahu Pengerusi Tabung Haji bukan orang politik

Pas mahu Pengerusi Tabung Haji bukan orang politik

Walaupun Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berpuashati dengan penjelasan menteri berhubung status kewangan Tabung Haji dan meyakini kemampuan institusi itu untuk memberikan pulangan yang baik kepada pendeposit, lain pula halnya dengan Timbalan Presiden parti itu.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mahu Lembaga Tabung Haji (LTH) mendedahkan laporan Ketua Audit Negara mengenai kedudukan kewangannya sebelum memutuskan jumlah dividen dan bonus kepada pendeposit.

Menurut beliau, pendedahan itu perlu memandangkan rakyat tidak akan lagi meyakini penafian wujudnya masalah dalam LTH oleh pengerusinya Datuk Seri Azeez Abdul Rahim yang mempertahankan pembelian tanah Tun Razak Exchange (TRX).

“Hanya dengan cara pengesahan kesihatan kewangan oleh Ketua Audit Negara dan juga Bank Negara Malaysia, keyakinan rakyat terhadap LTH akan dipulihkan selepas terjejasnya keyakinan mereka ekoran pendedahan surat amaran Bank Negara Malaysia yang telah diakui benar oleh Pengerusi LTH sendiri.

“Lebih elok jika Pengerusi LTH tidak lagi dilantik daripada kalangan orang politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut membidas tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memulangkan ‘wang derma’ RM2.03 bilion kepada kerajaan Arab Saudi yang disifatkan sebagai adegan politik.

“Tindakan Peguam Negara membersihkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui kenyataan bahawa Najib telah memulangkan kembali wang derma yang diterima adalah ibarat menjirus air panas di atas luka pesakit kencing manis.

“Walau selepas itu luka tersebut dibalut dengan pembalut, ia tidak membantu penyembuhan sebaliknya ia hanya mempercepatkan kaki dipotong.

“Manakala tindakan Peguam Negara mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup kes berhubung dana derma RM2.6 billion pula ibarat orang yang jek kereta yang pancit tayar sehingga kereta terbalik. Ia bukan dapat pujian sebaliknya mendapat cercaan dan kutukan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, rakyat melihat adegan politik ini dengan dua watak iaitu seorang bersikap seperti badut manakala seorang lagi seperti Pak Pandir yang sedang cuba membuat rakyat merasa bodoh dan ketawa.

“Inilah keadaan sebenar negara yang amat menyayatkan hati semua,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim juga, negara diterajui oleh pemimpin BN yang hanya memikirkan kepentingan peribadi bukan lagi masa depan negara.

“Mereka terlupa mereka juga mewakili orang Islam. Tindakan mereka hari ini menyebabkan orang Islam pada amnya merasa malu.

“Tiada satu rakyat Malaysia yang berfikiran waras yang merasa bangga tentang kehebatan PM mendapat derma RM2.6 bilion. Kesemua mereka merasa mual dan jijik dengan apa yang berlaku.

“Kepada para pemimpin Umno, tak marah ke, kalau dana yang sepatutnya digunakan untuk Umno, dipulangkan?

“Berapa kerat pemimpin dalam Umno yang tahu duit ini pernah datang dan kemudian dipulangkan? Bayangkan kalau baki RM2 bilion dibawa bincang di dalam Umno, apakah anda percaya ada siapa-siapa di dalam Umno yang sudi wang itu dikembalikan?” soalnya.

TAGS