Pas mesti tetap pendirian pilih Umno atau pembangkang

Pas mesti tetap pendirian pilih Umno atau pembangkang

Sudah tidak ada masa lagi untuk Pas bermain tarik tali sama ada ingin bersama dengan Umno-BN atau bersama dengan pakatan pembangkang.

Datuk Dr Ismail SallehSudah tidak ada masa lagi untuk Pas bermain tarik tali sama ada ingin bersama dengan Umno-BN atau bersama dengan pakatan pembangkang.

Demikian perumpamaan yang diibaratkan oleh Pengerusi Amanah Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh ketika berucap pada program ceramah semasa yang diadakan di perkarangan Pejabat Ahli Parlimen Kuala Kedah.

Tegasnya lagi, matlamat utama BN adalah memecahkan pakatan pembangkang.

Sekiranya strategi mereka berjaya menjadi racun untuk disuntik, maka perpecahan pakatan pembangkang adalah suatu kejayaan yang amat diharapkan.

“PKR, Amanah, DAP dan Bersatu sudah sepakat untuk bersama menentang kerajaan BN yang terbukti secara jelas lemah dalam memimpin negara.

“Kepimpinan Najib begitu ketara menyebabkan hutang negara bertimbun dan ketirisan yang teramat sangat.

“Pelbagai kerosakan berlaku dalam sistem perundangan negara sehinggakan siapa yang mempersoalkan mengenai salah laku Perdana Menteri akan dihukum sepertimana yang sudah terjadi kepada pimpinan Umno dan pembangkang ketika ini, ” jelasnya.

Oleh kerana itu katanya, Pas mesti membuat pendirian sama ada mahu bersekongkol dengan parti pemerintah yang menzalimi rakyat atau membela nasib rakyat yang ditindas.

“Kita tahu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) itu turut dikenakan kepada orang miskin, ini juga adalah ketetapan pemerintah Umno dan BN.

“Peningkatan kos sara hidup sehingga menyebabkan rakyat yang miskin bertambah miskin dan daif serta melarat, tapi tidak pun dibela oleh mereka.

“Akta dan polisi yang menekan rakyat begitu banyak menjadi senjata kepada Umno dan BN, kenapa masih lagi hendak menyokong mereka, ” tanya beliau.

Datuk Ir Phahrolrazi ZawawiManakala Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi pula berkata sekiranya Pas serius mahukan pembangkang menang, Umno dan BN mesti ditentang.

Ujarnya lagi, adalah tidak praktikal sekiranya hanya laungan untuk mengalahkan Umno dan BN tetapi tiada perancangan untuk mengalahkan mereka.

“Kerajaan yang didokong oleh Najib kini terpaksa mengeluarkan dana bagi projek-projek besar yang masih dipertikaikan termasuk dari negara China sepertimana yang telah didedahkan.

“Bajet pendidikan yang dipotong menyebabkan khidmat guru-guru, pelajar dan PIBG terpaksa mencari dana untuk program yang mereka ingin anjurkan walaupun untuk keperluan pelajar sekolah masing-masing.

“Saya juga dimaklumkan ada sesetengah ibu bapa terpaksa menyediakan satu rim kertas kepada anak-anak mereka kerana pihak sekolah sudah tidak mampu untuk membiayai kertas tersebut, ” tambahnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kundur turut berkata, setelah menyedari kepimpinan Umno dan BN penuh dengan kelemahan, rasuah dan penyelewengan untuk apa lagi mereka di beri sokongan.

Malah katanya, adalah tidak adil untuk terus bersekongkol dengan sebuah kerajaan yang jelas lagi terang lemah dalam urus tadbir, salah laku dan mempunyai seribu satu macam masalah yang semakin bercambah-cambah.

“Memberi mandat kepada Umno dan BN dalam pilihan raya umum yang akan datang akan menjadikan rakyat lebih merana dan sengsara.

“Jika serius untuk menukar kerajaan dan membela nasib rakyat, kita perlu bersatu hati dalam membuat pendirian.

“Bersatu dalam pakatan pembangkang dan tolak Umno-BN dengan tegas, seandainya benar-benar mahu melihat adanya perubahan dalam membela nasib rakyat dan juga negara, ” jelasnya lagi.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail, Ahli Parlimen Sungei Petani, Datuk Johari Abdul, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew serta kepimpinan Bersatu Kuala Kedah.

Datuk Dr Ismail Salleh, Pengerusi Amanah Kedah ketika berucap dalam program ceramah PH di Kuala Kedah.

 

TAGS