Pas minta Najib jelaskan keberadaan Panglima ATM di Myanmar

Pas minta Najib jelaskan keberadaan Panglima ATM di Myanmar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mesti memberi penjelasan kepada rakyat kenapa Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berada di Myanmar, kata Naib Presiden Pas Datuk Iskandar Abdul Samad.

Beliau berkata, tindakan itu bertentangan dengan sikap lantang Najib di perhimpunan solidariti ummah untuk Rohingya pada Ahad lalu.

“Walhal beliau (Najib) dilihat lantang menyuarakan nasib masyarakat Rohingya di negara itu.

“Sikap sedemikian tidak akan memberi tekanan kepada pemerintah Myanmar untuk memberhentikan pembunuhan dan kezaliman kerana negara tidak kelihatan serius memperjuangkan nasib masyarakat Islam itu,.

“Kecuali kehadiran Panglima Angkatan Tentera adalah untuk memberi amaran kepada pemerintah negara itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iskandar mengulas laporan Myanmar Times bahawa pertemuan itu bagi meredakan hubungan Myanmar-Malaysia susulan kritikan keras Najib terhadap kerajaan Myanmar pada himpunan membela Rohingya di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Dalam kenyataan dikeluarkan pejabat ketua angkatan tentera Myanmar, Aung Hlaing memberitahu Zulkifeli yang tiada pelanggaran hak asasi manusia berlaku terhadap masyarakat Muslim Rohingya.

Kenyataan itu berkata pihak berkuasa Myanmar tidak boleh berbohong mengenai perkara itu kerana media tempatan dan antarabangsa memberikan fokus terhadap daerah itu.
Satu lagi kenyataan dikeluarkan pejabat presiden berkata Htin Kyaw turut mengadakan perbincangan dengan Zulkifeli.

Katanya, pejabat presiden menjadikan “berita palsu” sebagai punca ketegangan diplomatik yang berlaku dan kerajaan Myanmar sedang berusaha untuk menyelesaikan isu di daerah Rakhine mengikut undang-undang sedia ada dan standard hak asasi manusia.

Pada perhimpunan yang turut disertai oleh pemimpin utama Pas itu, Najib menyelar kerajaan Myanmar kerana layanan buruknya terhadap Muslim Rohingya. Ia kali pertama dalam beberapa tahun terakhir ini, seorang pemimpin negara Asean mengkritik rakan sejawatnya dari negara Asean berhubung perkara dalaman negara berkenaan.

TAGS