Pemuda PAS mohon maaf atau tindakan undang-undang diambil, kata Pemuda Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Pemuda Amanah Nasional menuntut Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia Muhammad Khalil Abdul Hadi menarik balik tuduhan bahawa ‘Amanah hanya akan dengar cakap DAP’ atau berdepan tindakan undang-undang.

Naib ketuanya, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, Khalil perlu memohon maaf secara terbuka kerana tuduhan tersebut bersifat jahat dan menyebabkan timbulnya persepsi buruk terhadap Parti Amanah Negara (Amanah).

Beliau memberikan masa selama dua minggu dari tarikh sidang media hari ini untuk Khalil bersemuka dengan pihaknya.

“Kami menegaskan bahawa kami bersedia untuk bersemuka dan behadapan secara harmoni atas dasar sifat jiwa besar dalam menangkis dakwaan tersebut.

“Sekiranya beliau yakin dan berpegang kepada dakwaannya itu, tidak menjadi masalah untuk beliau berhadapan dengan Pemuda Amanah.

“Namun jika beliau enggan memberikan respons, kami menyerahkan kepada peguam untuk membuat tidankan selanjutnya,” kata beliau pada sidang media di Wisma Amanah Negara, Jalan Kuching hari ini.

Khalil pada 24 Disember lalu berkata kepada Sinar Harian Online: “Amanah terikat dengan DAP. Mereka hanya akan dengar cakap DAP sahaja. JIka DAP mahu mereka senyap, merak akan senyap. Kalau DAP mahu mereka buat bising, jadi bisinglah mereka,”

Menjawab tuduhan yang disifatkan sebagai sangat berat itu, Fakhrulrazi menegaskan, Amanah tidak terikat kepada mana-mana parti sebaliknya perjuangan mereka berdasarkan prinsip dan pegangan.

“Kenyataan ini sangat tidak berasas dan ia hanya sangkaan buruk terhadap Amanah iaitu parti Islam yang baharu bertapak dalam arena politik negara.

“Dakwaan Khalil ini sangat berat seolah-oleh Amanah hanya pak turut kepada DAP sedangkan tidak berlaku sama sekali gambaran sedemikian,” katanya yang juga bekas bendahari Pemuda PAS Malaysia.

Menurut beliau, Khalil sebagai pemimpin pemuda parti yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan tidak harus membuat tuduhan seperti itu.

“Beliau seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, jangan kerana kebencian menghalalkan fitnah seperti itu. Seorang ahli parti Islam lebih mengetahui kaedah dan cara untuk mengenakan tuduhan dan hukuman,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi Naib Ketua Wan Anwar Wan Ibrahim menjelaskan, tindakan mahkamah adalah sesuatu yang normal sebagai pengajaran kepada orang yang membuat fitnah.

“Kita beri peluang kepada Khalil untuk respons dan jika tiada kita tengok tindakan mana yang wajar dilakukan.

“Kami tidak mahu terlalu membesarkan perkara ini tetapi kalau terlalu kerap kenyataan fitnah terhadap Amanah, kami kena ambil tindakan sebagai pengajaran dan ini suatu yang normal,” katanya yang juga merupakan peguam.

TAGS