Pas Pahang ugut akan tanding kerusi PKR

Pas Pahang ugut akan tanding kerusi PKR

Pesuruhjaya Pas Pahang mengugut PKR, jika mana-mana komponen Pakatan Harapan meletakkan calon mereka di kerusi Pas, parti itu juga akan meletakkan calonnya di kerusi PKR.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pesuruhjaya Pas Pahang mengugut PKR, jika mana-mana komponen Pakatan Harapan meletakkan calon mereka di kerusi Pas, parti itu juga akan meletakkan calonnya di kerusi PKR.

“Pas Pahang menegaskan bahawa jika sekiranya Pakatan Harapan bertanding di kerusi Pas bertanding, Pas Pahang juga akan meletakkan calonnya termasuk di kerusi PKR bertanding.

“Kerana PKR adalah komponen Pakatan Harapan, maka diharapkan PKR dapat berbincang sebaik mungkin untuk rakan-rakan Pakatannya tidak menganggu kerusi Pas bertanding,” kata Rosli Jabar dalam satu kenyataannya.

Menurutnya, Pas tidak akan menyerahkan walau satu pun kerusi yang ditandingi pada PRU 13 yang lalu kepada mana-mana komponen Pakatan Harapan.

“Kerusi yang ditandingi Pas pada PRU 13 yang lalu adalah hasil muafakat dalam Pakatan Rakyat.

“Kini Pas dan PKR masih lagi berada di dalam Pakatan Rakyat, maka semua kerusi antara Pas dan PKR adalah berdasar kepada status quo,” katanya.

Keputusan ini, katanya, telah dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan Negeri Pahang baru-baru ini, kerana jentera Pas telah bekerja disetiap DUN Pas bertanding sejak bertahun lalu dan lebih agresif lagi apabila hampir pilihanraya.

Jika Pas menarik diri untuk memberi laluan kepada Pakatan Harapan pasti akan melemahkan jentera pilihan raya Pas yang kini sedang bersemangat untuk menghadapi PRU 14, katanya.

Beliau juga menegaskan, Pas tidak mungkin akan menerima Pakatan Harapan selagi di dalamnya ada DAP dan Amanah.

“Walaupun di dalamnya ada PKR yang sangat mesra dengan PAN, tapi masih bertahaluf dengan Pas, Pas tidak mungkin akan bertolak ansur untuk membenarkan Pakatan Harapan bertanding dikerusi Pas,” katanya.

Katanya, PKR dan DAP boleh berbincang sesama mereka untuk memberikan kerusi mereka kepada Amanah, bukan ambil kerusi Pas.

“Pas tidak akan bertanding dikerusi PKR bertanding, namun Pas Pahang tegaskan sekali lagi bahawa Pas Pahang akan bertanding dimana-mana kerusi sekalipun termasuk kerusi yang ditandingi PKR jika ada salah satu kerusi Pas dicerobohi oleh Pakatan Harapan,” katanya.

Pas Pahang, katanya, bukan sahaja bersedia untuk bertanding 3 penjuru, malahan beberapa penjuru sekali pun dan inilah juga kesediaan diperingkat akar umbi Pas.

Pas Pahang juga, katanya, nekad untuk bertegas apatah lagi setelah pengerusi DAP Pahang mengeluarkan kenyataan menghina kepimpinan Pas dan menghalau Pas keluar dari bumi Pahang dalam ucapannya di Raub baru-baru ini.

“Kenyataan ini sangat menghiris hati ahli Pas,” katanya.

Keutamaan Pas ialah perjuangkan prinsip Islamnya demi kebaikan rakyat, katanya.

Beliau juga menegaskan, Pas tetap akan menentang Umno dan BN dan sesiapa sahaja yang menghalang Pas dari perjuangkan prinsipnya.

 

TAGS