Pas perlu berlapang dada jika ahli sertai Amanah

Pas perlu berlapang dada jika ahli sertai Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Amanah tidak memandang berat dakwaan kononnya ada ahli parti itu kembali menyertai Pas kerana ia mengamalkan sikap terbuka dan menghormati pilihan setiap individu.

Pengarah Komunikasinya Khalid Samad berkata, di masa yang sama Amanah berharap Pas turut mengamalkan sikap yang sama.

“Kalau benar pun ini tak ada masalah kerana ini negara demokrasi kita hormat pilihan masing-masing.

“Kita harap Pas mempunyai sikap sebegitu rupa, biar ahli pilih sendiri berdasarkan keyakinan masing-masing, tak payah nak ikat dengan tuduhan khianat, langgar bai’ah biar orang pilih atas keyakinan.

“Kalau ada orang Amanah nak balik kepada Pas dipersilakan buat apa yang kamu yakin yang terbaik.

“Tak jadi kafir masuk Amanah keluar Pas. Tak jadi munafik keluar Pas masuk Amanah,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah, Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa beliau ditemui beberapa ahli Amanah yang ingin kembali semula kepada parti itu.

Takiyuddin meminta kepimpinan Amanah menyiasat sendiri perkara itu kerana beliau tidak akan mendedahkan nama-nama individu yang terlibat.

Mengulas lanjut, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, pihaknya tidak akan membuang masa berbuat demikian sebaliknya berkata, ramai ahli Pas yang ingin menyertai Amanah.

“Saya tidak teruja dengan kenyataan itu namakanlah siapa seorang yang nak kembali semula kepada Pas.

“Kami tidak perlu buang masa menyiasat perkara itu. Apa yang boleh saya yakinkan pada hari ini yang nak masuk Amanah adalah daripada Pas. Sebab itu ada istilah harum manis.

“Itu yang saya rasa setiausaha Pas kena lihat dan mereka sedang membuat peraturan mengeluarkan surat amaran untuk ahli Pas tak boleh pergi ceramah Amanah malah yang minum kopi dengan kami pun akan diambil tindakan,” katanya.

TAGS