Ceramah Pas hilang seri, penuh cercaan, kata Prof Agus

Ceramah Pas hilang seri, penuh cercaan, kata Prof Agus

Seorang penganalisis politik mendakwa Pas seperti hilang arah apabila ceramahnya semakin hilang tarikan sebaliknya sarat dengan cercaan.

Prof Datuk Mohamad Agus Yusoff berkata pendekatan politik Pas kini berbeza dengan gerak kerja Umno, Amanah dan Bersatu yang lebih lembut, memujuk, kemas dan kerap.

Justeru katanya Pas perlu mengubah pendekatan politiknya jika mahu terus memerintah Kelantan kerana sikap pengundi Kelantan tidak statik.

Menurutnya rakyat Kelantan akan menukar kerajaan apabila kerajaan sedia ada tidak lagi dapat menunjukkan imej perpaduan yang baik.

“Perhatikan keinginan anak muda dan perantau di luar Kelantan yang akan balik mengundi nanti. Mereka antara penentu besar kerajaan yang akan memerintah selepas PRU14 nanti.

“Jika Pas tidak berubah dan masih dengan sikap politiknya sekarang, PRU14 nanti akan menyaksikan perubahan kerajaan di Kelantan,” katanya di Facebook hari ini.

Menurut pensyarah kanan sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, pada tahun 1978, rakyat Kelantan menolak kerajaan Pas apabila Pas berkonflik dan Berjasa ditubuhkan.

Pada tahun 1990, rakyat Kelantan menolak kerajaan Umno apabila parti itu berkonflik dan Semangat 46 ditubuhkan.

“Senario tersebut berulang lagi sekarang. Parti Pas yang memerintah Kelantan berkonflik berat sehuingga tertubuhnya Amanah,” katanya.

Beliau turut melontarkan soalan sama ada Umno-BN atau Pakatan Harapan dan Amanah yang akan menggantikan Pas di Kelantan.

TAGS

COMMENTS