Pas perlu fikir semula kerjasama dengan PPBM tanpa DAP dan Amanah

Pas perlu fikir semula kerjasama dengan PPBM tanpa DAP dan Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Syarat ditetapkan Pas akan bekerjasama dengan  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)  sekiranya tanpa Amanah dan DAP perlu di fikirkan semula, demi kepentingan rakyat, kata Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir.

“Kalau mereka fikir begitu memang susahlah. Kita tidak fikir Pas, walaupun apa jua yang telah mereka lakukan. Kami dalam Amanah tidak fikir perkara itu, kami fikirkan kepentingan rakyat.

“Menyelamatkan rakyat lebih besar daripada kepentingan peribadi. Ego harus letak tepi. Bagi Amanah, kita mahu pakatan lebih besar. Tapi, kalau orang tidak mahu, kita tidak boleh paksa,” ujarnya dalam satu kenyataan dipetik hari ini.

Pada Selasa, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau memberi Pas masa sehingga tahun depan untuk putuskan sama ada ia akan bekerjasama dengan pakatan pada pilihan raya akan datang.

Anuar berkata, partinya menghormati rundingan dilakukan PPBM dengan Pas, tanpa menyimpan rasa marah atau dendam. Walau bagaimanapun  ujarnya lagi, Pas perlu manfaatkan masa diberi sebelum memutuskan untuk bersama atau tidak dengan PPBM dan Pakatan Harapan dalam mewujudkan pembangkang yang lebih besar.

“Kami dalam Amanah, tidak marah atau berdendam dengan sesiapa. Kita dalam Pakatan Harapan juga tidak membantah, kami beri ruang untuk PPBM berunding dengan Pas.

“Terpulang kepada Pas, bukan kami tidak beri ruang. Tetapi kami sekarang dah berada di landasan, ‘bersedia untuk berlepas’. Enjin dah panas, jadi tidak boleh tunggu lama-lama,” katanya.

TAGS