Pas Permatang Pauh akan letak calon pembela Islam PRU14

Pas Permatang Pauh akan letak calon pembela Islam PRU14

Pas Permatang Pauh akan meletakkan calon yang menjadi pembela Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Ketua Pemudanya Ahmad Rafaie A. Rashid berkata, pengundi Islam wajib memilih calon sedemikian ketika ahli Parlimen Islam daripada Umno dan Pakatan Harapan menunjukkan sikap yang tidak boleh dipercayai untuk menjadi benteng terakhir mempertahankan agama.

“Pengundi Islam wajib memilih calon yang akan menjadi pembela Islam dan Pas Kawasan Permatang Pauh secara khusus menawarkannya pada pilihan raya nanti agar ia memikul tujuan selaras ayat 58 surah an-Nisa’ yang berbunyi:

“Sesungguhnya Allah menyuruhmu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran sebaiknya padamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat”,” katanya.

Beliau berkata, para pengundi tidak boleh memilih secara sembarangan calon wakil rakyat Parlimen atau Dun atas peranan legislatif dalam penggubalan undang-undang seperti dalam isu Akta 164.

“Soal pegangan kepercayaan atau akidah dan hak penjagaan anak adalah antara perkara kritikal implikasi daripada pindaan RUU Perkahwinan dan Perceraian atau Akta 164 yang diluluskan oleh Sidang Dewan Rakyat beberapa hari lalu.

“Mahkamah Sivil mempunyai kuasa terhadap perkara itu mengatasi Mahkamah Syariah, sekali gus meletakkan autoriti perbicaraan kekeluargaan Islam boleh dicabar lantaran daripada si bapa atau ibu memeluk agama Islam,” katanya.

Beliau berkata, sikap berbeza ditunjukkan 13 ahli Parlimen Pas diketuai Datuk Takiyuddin Hassan yang teguh mempertahankan keutuhan institusi Islam.

“Walaupun berjumlah sedikit, tetapi teguh dengan prinsip dasar dan menjulang tinggi kalimah Allah,” katanya.

TAGS