Pas pertahan tindakan lancar jentera pilihan raya di Permatang Pauh

Pas pertahan tindakan lancar jentera pilihan raya di Permatang Pauh

Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh mempertahankan tindakan parti itu melancarkan jentera pilihan raya di Permatang Pauh baru-baru ini.

Beliau berkata, menjadi kebiasaan Pas kawasan di seluruh negara melancarkan jentera pilihan raya sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya, tidak terkecuali Pas kawasan Permatang Pauh.

Bagaimanapun ujar Nik Zawawi, tindakan Pas melancarkan jentera pilihan raya di kawasan tertentu tidak bermaksud mereka sah akan bertanding di kerusi itu, lapor Antarapos.

“Memang kita sentiasa lancar jentera kita untuk menghadapi Pilihan Raya akan datang.

“Isu siapa yang akan bertanding, ia masih jauh daripada musim pilihan raya. Bila sampai tarikh pilihan raya, kita akan isytiharkan. Sama ada kita bertanding atau tidak, kita tengoklah nanti macamana,” katanya kepada Antarapos.

Pas kawasan Permatang Pauh sebelum ini melancarkan jentera pilihan raya dan turut menyatakan hasratnya untuk bertanding di kerusi yang kini disandang Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Tindakan itu mengundang kritikan PKR yang mendakwa Pas sengaja membuat provokasi serta bersikap angkuh selain tidak membantu dalam usaha menewaskan Umno-BN.

Nik Zawawi berkata jentera pilihan raya Pas hanya bersiap sedia dan ia adalah perkara yang menjadi kebiasaan parti itu.

PKR serta parti politik yang lain sebelum ini mengakui jentera pilihan raya Pas amat bersedia pada bila-bila masa untuk berdepan dengan mana-mana pilihan raya.

“Kita tak boleh nak sebut hari ini sama ada kita bertanding atau tidak di Permatang Pauh tapi jentera kita bersiap sedia. Waima bertanding atau tidak itu (diputuskan) kemudian,” katanya.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin sebelum itu berkata Pas kini bebas untuk bertanding dimana-mana sahaja termasuk kerusi Permatang Pauh berikutan sudah tiada tahaluf siyasi dengan PKR.

Tegasnya, Pas kini boleh mensasarkan untuk mengintai mana-mana kerusi tanpa perlu memikirkan untuk menjaga hubungan baik dengan sesiapa sahaja.

TAGS