Pas, PKR Selangor mahu satu lawan satu PRU14

Pas, PKR Selangor mahu satu lawan satu PRU14

Dua pemimpin Pas dan PKR di Selangor menegaskan mahu bertanding secara satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dua pemimpin Pas dan PKR di Selangor berulang kali dalam ceramah di Sungai Buloh malam tadi menegaskan mahu bertanding secara satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Setiausaha Pas Selangor, Khairuddin Othman yang juga Adun Paya Jaras dalam ucapan pembuka tirai anjuran badan perhubungan parti di negeri itu mengulang gesaan mengelak pertandingan banyak penjuru.

“Sebab itu kita katakan komitmen kita di Selangor ini rakyat mahu melihat bahawa hanya satu parti untuk menumbangkan Umno-BN.

“Kalau tidak, tuan-tuan (hadirin di tapak pasar malam Paya Jaras) tidak datang jauh dari Tanjong Karang, Hulu Langat. Kita di Selangor ini masih percaya kita lawan Umno secara satu lawan satu. Kita bersedia melawan Umno secara satu lawan satu,” ulangnya.

Walau bagaimanapun sebelum itu, Khairuddin mengakui kesemua parti pembangkang mempunyai pendirian masing-masing.

“Kadang-kadang dalam politik ini, masing-masing ada prinsip. Pas ada prinsip dia. PKR ada prinsip dia. Bersatu ada prinsip dia, DAP ada prinsip dia. Amanah ada prinsip dia,” katanya tanpa menyebut ‘Pan’ merujuk kepada Amanah seperti yang kerap disebut pemimpin dan penyokong Pas termasuk akhbar Harakah.

Sementara itu, ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Sivarasa Rasiah menganggap kehadiran Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam program tersebut sebagai satu bentuk kerjasama.

“Kita sudah ada beberapa pimpinan tertinggi datang. Bila sudah berada di atas pentas, maksudnya sudah bekerjasama. Kerjasama saja tidak cukup. Apa yang paling penting kita masuk pilihan raya satu lawan satu.

“Sebab apa akan jadi kalau pembangkang tidak bekerjasama? Macam yang sudah berlaku di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Berapa penjuru? Tiga penjuru, empat penjuru. Apa akan jadi pada aspirasi rakyat untuk perubahan?” ujarnya.

Ahli Parlimen PKR Subang itu turut memuji penganjuran ceramah tersebut dengan memberitahu program yang membawa pemimpin dari PKR dan Bersatu juga pernah diadakah di Kuala Langat sebelum ini.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Khairudin dan pasukannya kerana berjaya mengumpulkan dan membawa ke atas pentas satu pimpinan tiga parti datang bersama-sama duduk di pentas. Saya yakin Selangor kita akan pegang tapi kita mesti ambil kuasa di Putrajaya,” ujarnya lagi.

Turut hadir dalam ceramah itu Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Samad dan Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

TAGS