Pas saran MB pohon perkenan Sultan bubar Dun Kedah

Pas saran MB pohon perkenan Sultan bubar Dun Kedah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pas Kedah menyarankan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengadap Sultan Kedah bagi menasihatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun).

Pesuruhjaya PAS Kedah Dr. Ahmad Fakhruddin bin Syeikh Fakhrurazi berkata, pembubaran Dun adalah formula terbaik dalam menghadapi kemelut yang berlaku di negeri itu.

“Oleh kerana mandat yang diberikan oleh rakyat terhadap BN dahulu adalah kerana penonjolan Datuk Seri Mukhriz sebagai calon menteri besar, maka adalah lebih wajar mandat itu dipulangkan kembali kepada rakyat untuk membuat keputusan terbaharu,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Menurut Ahmad, kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah yang mendakwa kononnya seluruh kepimpinan Umno Kedah telah hilang kepercayaan terhadap Mukhriz sebagai Pengerusi Perhubungan Umno dan Menteri Besar adalah kemuncak dari perpecahan Umno negeri itu yang tidak berupaya lagi disembunyikan.

“Dakwaan bahawa Datuk Seri Mukhriz telah ‘gagal mengurus tadbir negeri secara berkesan’ sebagai antara sebab Umno Kedah hilang kepercayaan terhadap beliau membenarkan dakwaan PAS selama ini terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

“Apapun kegagalan tersebut tidak harus dipertanggungkan ke atas beliau semata-mata, sebaliknya ia adalah kegagalan sepenuhnya kerajaan negeri pimpinan BN. Secara tidak langsung Umno Kedah sendiri mengakui bahawa kerajaan mereka gagal,” katanya lagi.

Petang semalam, pimpinan Umno Kedah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat perubahan dalam kepimpinan yang dipegang oleh Mukhriz.

Perjumpaan yang bertempat di sebuah hotel dekat Alor Setar itu melibatkan 14 Ketua Umno Bahagian, kecuali Jerlun, Padang Terap dan Kulim Bandar Baru yang diwakili timbalan ketua bahagian masing-masing.

Ahmad juga berkata, PAS Kedah bersedia sepenuhnya untuk menjadi alternatif kepada sebuah kerajaan BN yang gagal, lemah dan berpecah itu.

“Saya percaya, kali ini rakyat Kedah lebih bijak dalam membuat keputusan setelah melihat kegagalan nyata BN sekalipun hampir tiga tahun diberi peluang mentadbir.

Kemelut yang berlaku juga tegasnya sekaligus memadamkan retorik politik yang dilaungkan selama ini iaitu “BN menang, Kedah senang”.

Sebaliknya kata Ahmad, rakyat tidak memperoleh banyak kesenangan ekoran kemenangan BN, manakala mereka yang telah diberi mandat oleh rakyat itu pula asyik bercakaran kerana merebut kuasa.

“Berdasarkan pergolakan yang berlaku dalam parti peneraju kerajaan negeri serta kegagalan mereka dalam pentadbiran negeri, saya berpandangan bahawa sesiapa sahaja yang dilantik sebagai menteri besar tidak akan dapat memulihkan situasi yang meruncing tersebut.

“Bahkan pelantikan menteri besar baharu dari parti yang sama hanya akan menambahkan lagi masalah terhadap pentadbiran, sekaligus menyusahkan rakyat,” katanya.

TAGS