PAS Sarawak nafi dakwaan tidak serasi dengan pribumi dan ekstremis

PAS Sarawak menganggap pandangan mengatakan parti berlandaskan Islam itu sukar bertapak di negeri itu kerana tidak serasi dengan gaya hidup masyarakat negeri itu tidak tepat.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri JaraieePAS Sarawak menganggap pandangan mengatakan parti berlandaskan Islam itu sukar bertapak di negeri itu kerana tidak serasi dengan gaya hidup masyarakat negeri itu tidak tepat.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, sasaran PAS bukan saja sebuah parti politik tetapi peranannya merangkumi dakwah dan tarbiyah sudah tentu tidak mudah dicapai dalam masa terdekat tetapi bukan bermakna usaha dakwah dan politik akan menjadi sia-sia.

“Kenyataan penganalisis politik yang mengatakan usaha PAS adalah sia-sia dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tidak dapat diterima pakai oleh orang beriman kepada hari akhirat. PAS tetap berusaha secara berterusan sehingga mencapai kejayaan suatu hari kelak,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian ketika memberi jawapan balas kepada kenyataan dibuat oleh Pensyarah Kanan Pengajian Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak (UMS), Dr Jeniri Amir kepada Bernama semalam.

Jemiri dipetik sebagai berkata, imej dan reputasi PAS yang dilihat bersifat ekstrim bagi penduduk Sarawak akan menjadi halangan utama parti itu memenangi kerusi pada PRN Sarawak.

Manakala Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Abdul Halim Sidek pula menegaskan, PAS dan Amanah tidak akan mampu memperoleh kemenangan dalam PRN Sarawak.

Jofri tidak bersetuju dengan pandangan Jeniri yang menyebut imej parti Islam dilihat bersifat ekstrem di Sarawak.

“PAS boleh menang kalau pihak tertentu tidak menghalang usaha PAS mengenalkan Islam yang sebenarnya kepada penduduk di Sarawak tanpa ada persepsi buruk kononnya PAS adalah parti bersifat ekstrim. Itu tuduhan yang tidak benar sama sekali.

“Biasalah kalau ada orang yang merendah-rendahkan kemampuan PAS untuk mencapai kejayaan dari sudut politik semasa, mereka akan bercakap mengikut suka hati mereka tetapi kita yakin setiap kejayaan bermula dengan kekalahan.

“Kekalahan PAS yang lalu bukan kayu pengukur PAS perlu meninggalkan perjuangan yang suci ini, sebaliknya akan terus berusaha lebih kuat dan semaksima mungkin demi Islam.

“Mungkin dengan adanya pandangan negatif terhadap PAS ini dapat memberi lebih semangat untuk ahli dan penyokong PAS membuktikan yang usaha selama ini pasti berjaya suatu hari nanti,” ujarnya.

Malah beliau juga menegaskan komposisi dan demografi masyarakat pelbagai etnik di Sarawak bukanlah 28 peratus sahaja penduduk negeri itu beragama Islam, sebagai mana dinyatakan oleh Jeniri itu.

“Sebenarnya penduduk Islam bukanlah 28 peratus tapi sudah lebih 30 peratus penduduk Islam di Sarawak.

“Mungkin pensyarah kanan tersebut memandang pada satu sudut tertentu saja tanpa mengkaji secara menyeluruh adakah parti Islam ditolak sama sekali di Sarawak seperti dakwanya.

“Rakyat Sarawak sekarang perlukan sebuah parti yang dapat membantu mereka selesaikan masalah kehidupan harian mereka yang semakin terdesak.

“Antaranya seperti kenaikan harga barang, tanah adat mereka di ceroboh, rumah tempat kediaman yang tidak mampu milik oleh sebahagian besar masyarakat Sarawak khusus kaum Bumiputera dan lain-lain lagi masalah,” ujarnya.

Justeru soalnya lagi, mengapa takut dengan kehadiran PAS di Sarawak?

“Sama ada PAS kalah atau menang itu urusan parti-parti masing-masing. Negara ini mengamal sistem demokrasi berperlembagaan jadi mana-mana parti bebas untuk meletakkan calon mereka bertanding dikawasan yang mereka fikir boleh mendapat sokongan,” katanya.

Malah Jofri memberitahu, dalam Pilihan raya Umum ke-13 lalu PAS telah terbukti mendapat sokongan dari masyakat bukan Islam di Parlimen Sibuti.

Ini membuktikan ramai masyarakat bukan Islam, katanya, tertarik dengan usaha PAS berjuang membantu mereka menyuarakan masalah kepada perhatian pihak pemerintah.

Terangnya lagi walaupun PAS belum berjaya sepenuhnya tetapi PAS tidak hilang deposit lebih-lebih lagi di kawasan majoriti bukan Islam.

“Ini membuktikan PAS boleh diterima di kalangan bukan Islam di Sarawak. Antara punca PAS kurang mendapat sokongan adalah disebabkan propaganda pihak pemerintah dan mereka yang anti Islam menyebabkan rakyat ditakut-takutkan dengan PAS.

“Kalau PAS diberi kebebasan untuk berdakwah dan menyampai mesej Islam kepada seluruh rakyat Sarawak, kita yakin lama kelamaan rakyat Sarawak yang tidak faham dengan perjuangan PAS dapat menerima PAS dengan baik,” terangnya.

TAGS