Pas Sarawak sokong syarikat minyak dan gas sendiri tapi…

Pas Sarawak sokong syarikat minyak dan gas sendiri tapi…

Pas Sarawak menyokong usaha kerajaan negeri menubuhkan syarikat operasi minyak dan gas sendiri yang akan memberi peluang kepada pembangunan dan peluang pekerjaan kepada anak Sarawak.

Bagaimanapun Ketua Penerangan Pas Sarawak Muhammad Afiq Mhd Khazar berkata, pihaknya bimbang terhadap risiko yang akan dihadapi dari aspek pelaburan dan ekonomi apabila menyertai bidang penerokaan minyak dan gas.

“Kos kasar penerokaan dan pembangunan satu telaga minyak sahaja bakal menelan belanja sehingga USD10 juta (RM42.65Juta).

“Peringatan yang ingin kami utarakan adalah kerajaan negeri perlu meneliti dari segala aspek pengurusan risiko ini sebelum membuat keputusan juga dalam keadaan harga minyak dunia yang pada paras rendah ketika ini – USD48.40/ barrel (Brent Crude),” katanya.

Beliau juga berkata, keperluan utama rakyat Sarawak adalah keperluan infrastruktur seperti jaringan jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih yang harus menjadi fokus karajaan negeri.

“Sebagai contoh, wang yang bakal dibelanjakan bagi satu telaga minyak dapat menampung projek jalan raya sejauh lebih 20 km atau bekalan elektrik dan air kepada lebih 100 buah kampung atau rumah panjang,” katanya.

Semalam, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri merancang menubuhkan syarikat minyaknya sendiri untuk mengambil bahagian dalam kegiatan penerokaan minyak dan gas di perairan bumi Kenyalang itu.

Abang Johari berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Petronas dan mendapat respon yang positif, khasnya untuk kegiatan huluan minyak dan gas, selain daripada hiliran.

“Saya telah berbincang dengan Petronas, kita mengambil pendekatan baharu, Sarawak akan ambil bahagian dalam kegiatan huluan minyak dan gas, selain daripada hiliran, huluan ini adalah pertama kali di mana kita akan tubuh syarikat kerajaan negeri untuk bersama-sama Petronas di dalam meneroka dan mengambil gas dan minyak di laut dekat Sarawak,” kata Abang Johari.

TAGS