Pas sebagai ‘king maker’

Pas sebagai ‘king maker’

Sebarang rancangan Pas untuk membentuk kerajaan bersendirian pada Pilihan Raya Umum ke-14 adalah mustahil, walaupun pada peringkat awal perpecahan pakatan Rakyat Pas mendakwa mereka lebih kuat bersendirian, hakikatnya mereka tahu yang ditipu adalah diri dan penyokong mereka sendiri.

Walaupun Pas dilihat sukar untuk menjadi kerajaan selepas PRU14, pimpinan mereka masih yakin jika strategi mereka mengena maka tidak mustahil Pas akan menjadi sebahagian daripada parti pemerintah selepas PRU14 nanti.

Ideanya adalah Pas sebagai “penentu utama” atau “King Maker”, sama ada Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Harapan (PH) akan menguasai Putrajaya kelak, Pas, akan berusaha memperoleh jumlah kerusi yang mampu meletakkan parti mereka sebagai penentu.

Idea ini bukanlah idea yang baru timbul pada tahun 2017 sebaliknya telah disuarakan pimpinan Pas sejak akhir 2015 lagi.

Mereka meletakkan harapan agar BN dan Pakatan memperoleh jumlah kerusi tidak melayakkan mereka menubuhkan kerajaan tanpa sokongan pihak ketiga, misalnya BN dan PH masing masing peroleh 107 dan 103 kerusi, maka selebihnya milik Pas, disitu Pas bakal menjadi penentu siapakan yang mampu membentuk kerajaan, dan pihak yang mendapat sokongan majoriti,jadi Pas tentunya boleh mengemukakan 1001 syarat kepada keduanya, hanya yang akur pada syaratnya sahaja akan menjadi pilihan Pas.

Secara lojiknya idea ini sememangnya bijak, pandai,dan licik. Ia seringkali digunakan oleh pihak yang tahu mereka tidak akan mampu menang dan berkuasa bersendirian, strategi murahan ini akan memberi peluang kepada pihak yang lemah sebagai “Raja Sehari” menjadi tumpuan dan rebutan ramai.

Pas mungkin ingin menjadi seperti parti Liberal Demokrat (LibDem) Di United Kingdom (UK) “king maker” apabila kedua parti utama di UK, Labour dan Konservatif gagal peroleh jumlah yang cukup untuk membentuk kerajaan sekaligus memberikan parti LibDem “kuasa penentu” untuk memilih siapa kerajaan yang baru.

Dilihat dari sudut perjuangan, Parti LibDem dilihat lebih menyamai aliran perjuangan dan idealogi parti Labour, namun ironinya, LibDem memilih untuk bersama Konservatif dan akhirnya LibDem diberikan kerusi timbalan Perdana menteri dan jawatan dalam kabinet. Lihat betapa berkesannya “strategi” ini.

Tetapi, apa yang berlaku seterusnya adalah pengkhianatan kepada prinsip prinsip perjuangan, dan LibDem akhirnya dihukum rakyat dengan kekalahan hampir total pada PRU 2015 di UK. LibDem yang sebelum ini berjaya harungi naik turun perjuangan akhirnya hampir pupus walaupun pernah menjadi “king maker” pada pilihan raya sebelumnya. LibDem dan Konservatif yang ditolak secara total oleh rakyat

Strategi ini juga pernah disuarakan oleh Pemerhati Politik Arus Baru pra Pru13 yang lalu dimana mereka meletakkan pihak mereka sebagai kuasa penentu jika Bn dan Pakatan Rakyat (PR) memperoleh jumlah kerusi yang hampir sama. Dan ternyata strategi mereka berjaya menguburkan terus nama Arus Baru/Berjasa selepas Pru13 dimana mereka hilang wang pertaruhan disemua kerusi yang mereka tandingi, namun apabila bau PRU14 mula hampiri, mereka muncul kembali.

Pada masa yang sama, Pas perlu maklum, strategi ini hanya mampu direalisasikan sebagaimana mereka harapkan jika BN dan PH masing masing peroleh undi yang hampir sama dan gagal membentuk kerajaan, jika salah satu daripada BN mahupun PH memperoleh jumlah kerusi yang mencukupi, maka apa yang berlaku terhadap Pas adalah “masuk angin keluar asap”.

Dan di pihak PH sendiri, apabila Pas sudah jelas mahu menggunapakai strategi ini, adalah tidak wajar untuk PH meneruskan sebarang usaha untuk mendapatkan kerjasama dengan Pas, strategi Pas adalah strategi yang mengkhianati aliran perjuangan rakyat dan sangat merugikan PH, sepatutnya pada waktu dan ketika ini sudah ada keputusan jelas bahawa tidak akan ada sebarang kerjasama antara parti-parti dalam PH bersama Pas.

Ketahuilah bahawa kemenangan Pas mampu menjadi sebab BN mampu kekal berkuasa sekiranya strategi itu diguna pakai.

CATEGORIES