Pas sedia tanding kerusi bukan tradisi

Pas sedia tanding kerusi bukan tradisi

Jika tidak ada persetujuan dan akan berlaku "free for all", Pas bersedia untuk menerokai kawasan-kawasan baru, kata Naib Presiden Pas Datuk Iskandar Abdul Samad.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pas mengingatkan parti-parti pembangkang lain bahawa mereka akan turut menanggung akibat jika tidak bersetuju dengan pertandingan dua penjuru dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata jika Amanah tetap mahu meletakkan calon di kerusi tradisi miliknya, parti itu juga bersedia meneroka kawasan baharu.

“Jika ada persetujuan untuk dua penjuru, Pas boleh menghormatinya.

“Jika tidak ada persetujuan dan akan berlaku “free for all”, Pas bersedia untuk menerokai kawasan-kawasan baru.

“Jentera Pas berupaya dikerah menghadapi kemungkinan tersebut.

“Sama-sama kita menanggung akibatnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, Pas tidak ada masalah jika Amanah mahu bertanding di kerusi miliknya selaras dengan prinsip demokrasi.

“Kami tidak ada masalah jika PAN (Amanah) hendak bertanding di kerusi-kerusi yang dimenangi oleh Pas atau pernah ditandingi oleh Pas.

“Ia adalah hak mereka di dalam sebuah negara demokrasi.

“Tetapi kalau betul hendak menggantikan Pas maka silakan bertanding melawan Pas.

Jangan pula menyuruh parti lain berlawan dengan Pas kerana tidak berani berhadapan dengan Pas,” katanya.

Baru-baru ini Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad memberitahu parti itu bercadang bertanding di 40 kerusi dalam PRU14 termasuk milik PKR dan Pas.

Ujar Khalid, pemilikan kerusi tradisi yang semalam ini dipertahan parti pembangkang tertentu sudah tidak relevan dengan suasana politik hari ini.

 

TAGS